"Nah, ini duit belanja kau nanti. Pandai-pandailah berjimat cermat, nak" kata emak sambil menghulur sehelai sampul surat berwarna coklat yang mengandungi sejumlah wang di dalamnya. Emak labuhkan punggungnya disebelah Hana yang sedang melipat pakaian ke dalam bagasinya.
"Kalau sudah sampai di tempat orang nanti, jaga diri baik-baik. Kita orang perempuan ni, sekali 'kena' tertinggal bekas. Bukan macam orang lelaki. Ha.. duit tu. Jangan ingat enjoy saja macam orang berduit. Kau pun tahu yang aku ni kerja kelaut saja. Bapa kau pun tiap hari ke kebun, bercucuk tanam" leteran emak disambut dengan senyum simpul oleh Hana.
"Aih, budak ni. Aku nasihat betul-betul, dia senyum pulak. Alamak... nasi aku..." emak bergegas kedapur. Sambil melipat pakaian, Hana memerhatikan sekujur tubuh tua berbaring tidak jauh darinya. Bapanya itu sedang tidur nyenyak, ditemani lagu klasik yang sayup-sayup kedengaran dari corong radio usang milik mereka. Mungkin penat selepas seharian berada di kebun. Hana memasukkan pakaian yang masih berbaki ke dalam bagasinya. Segala dokumen yang diminta oleh pihak universiti sudah disusun ke dalam fail yang serta-merta dimasukkan kedalam beg galasnya.
"Hana, kau tolong kakak kau di dapur. Hidangkan apa yang patut. Panggil adik-adik kau sekali. Biar mak kejutkan bapa kau" kata emak sambil berjalan ke arah bapa yang masih tidur.
"Ya lah, mak"
Hana bingkas bangun lalu memanggil adik-adiknya. Laju saja dia melangkah ke arah dapur. Hana lihat kakak sedang menyenduk lauk-pauk ke dalam mangkuk.
"dah siap berkemas?" sapa kakak. Hana mengangguk.
"Hana siapkan pinggan dan air basuh tangan. Lepas tu, tolong akak tuangkan air masak ke dalam jag. Jangan lupa cawan sekali" kata kakak sambil menyusun lauk-pauk tadi ke dalam talam. Hana lihat masakan malam ini sungguh istimewa. Ikan pari masak tumis dan sup ayam. Sayur pucuk ubi tumis kegemarannya pun ada. Mesti bapa yang ambilkan siang tadi. Kakak menghidangkan lauk-pauk tadi di atas meja makan bersama-sama dengan sebekas nasi yang masih lagi mengeluarkan wap. Kakak mengisyaratkan Hana supaya duduk bersamanya apabila ahli keluarga mereka yang lain tiba. Sudahnya, makan malam diserikan dengan gelak tawa ahli keluarganya apabila mereka semua berkongsi pengalaman lucu masing-masing. Hilai tawa hanya reda apabila masing-masing mengambil tempat ditemani bantal busuk dan selimut mereka, sedangkan Hana merasakan dia sukar melelapkan mata terutama bila teringatkan dirinya menaiki kapal terbang yang ruangnya agak sempit. Terpaksa juga dia menahan sesak nafasnya itu dan memaksa matanya terlelap.
********
Bapa kejutkan Hana seawal empat pagi. Hana yang masih lagi mamai, bingkas bangun. Seisi rumah sudah terjaga.
"Ah... persetankan perasaan kurang selesa ini" monolog Hana sambil melipat selimutnya. Usai bersarapan pagi, Hana mengambil bagasi dan beg galasnya. Dia letakkan berdekatan pintu. Hana mengenakan tudung bawal kosong sebelum melangkah menghampiri emaknya. Dia menghulur tangan, lalu mencium tangan emaknya.
"Mak, Hana pergi dulu. Doakan Hana ya, Mak" ucapnya. Emak merenung sayu.
"Ya lah. Kau jaga diri bagus-bagus, nak. Kalau ada apa-apa, kau telefon saja bapa kau. Sampai di sana nanti, pandai-pandailah kau bawa diri di tempat orang" kata emak.
"Nanti kau kirimlah khabar pakai Pesbuk..eh..entah apa namaya" sahut bapa pula. Semua orang tergelak besar. Bapa pagi-pagi lagi buat lawak.
"Bukan pesbuk lah, pak. Facebook" seloroh kakak.
"Asalkan berbunyi, sama juga lah tu" Emak tolong bapa daripada menjadi bahan lawak Hana dan adik beradiknya.
"Ah.. kita mesti jalan sekarang. Nanti pula jalan jammed, kan susah. Flight budak ni, bukannya menunggu dia" kata bapa menghabiskan saki baki ketawa yang lain. Kakak dan adik-adik Hana melambai manakala emak duduk di tepi pintu memerhatikan Hana dan bapa berlalu pergi dengan proton Aerobik hitam. Sepanjang perjalanan dari rumah sehingga ke lapangan terbang, Hana hanya diam membisu. Bapa pula tidak berkata apa-apa. Hanya apabila mereka tiba di lapangan terbang, bapa mula bertanya itu dan ini. Bapa sempat membelikan sekeping sandwich tuna untuk Hana. Hana perhatikan dalam dompet bapa hanya ada dua keping not RM10. Sayu benar hatinya. Selepas bagasi dimasukkan ke dalam kargo, Hana cepat-cepat membuka sandwich yang dibeli oleh bapa tadi. Dia menggigit sekeping sandwich dan meghulurkan sekeping lagi yang berada di dalam bekas plastik kepada bapa.
"Eh.. makanlah. Bapa beli untuk kau. Kau tu kalau lapar mana boleh ditahan-tahan"
"Alah. Mana habis ni" balas Hana. Bapa yang termakan pujukan, terpaksa menerima sandwich itu. Hana senyum sendirian. Mereka mendengar pengumuman bahawa penumpang diminta untuk masuk ke balai berlepas. Hana cepat-cepat menghabiskan sandwichnya.
"Anak bapa ni, tak senonoh betul" kata bapa sambil menghulurkan sapu tangannya kepada Hana. Hana hanya tersenyum. Seperi emak, Hana menghulurkan tangannya kepada bapa dan menciumnya. Bapa menitiskan airmata, sesuatu yang Hana tidak jangkakan sama sekali. Orang lain yang lalu lalang di situ memandang mereka. Cepat-cepat bapa sapukan airmata yang keluar.
"Belajar baik-baik, nak" ucap bapa sambil tersenyum hambar. Hana mengangguk dan tersenyum.
"Pa, Hana pergi dulu" kata Hana sambil melambai kepada bapa. Bapa membalas, tapi tidak cepat berlalu pergi. Dia memerhatikan Hana yang masih lagi melalui proses imbasan imigresen dan ketika Hana ingin ke kaunter imigresen bagi pemeriksaan dokumen dan passport, bapa melambai lagi dan berlalu pergi sambil menyapu airmatanya.
Dia kini sendirian. Hana terasa kosong, tapi dia harus pergi. University of Otago telah menanti, menjanjikan sebuah sinar baru untuk diri dan keluarganya. Dia sudah nekad. Walau apapun rintangannya, dia mesti kuat. Demi keluarganya. Demi kehidupan yang baik pada masa hadapan.
Sekali lagi, pengumuman dibuat menandakan itulah masanya Hana akan meninggalkan kampung halamannya. Sayup-sayup kedengaran lagu "leaving on jet plane", entah dari telefon bimbit siapa membuatkan Hana hanyut dalam dunianya yang tersendiri.
********
Hana banyak termenung semenjak penerbangannya dari lapangan terbang Sandakan. Sudah beberapa kali dia transit dan dalam masa itu jugalah dia duduk di sebelah orang yang terlebih ramah. Berjam-jam lamanya berada di dalam kapal,tambah lagi dengan transit dan menunggu kapal terbang tiba memang memenatkan. Kini tahulah dia, bukan senang hendak memulakan perjalanan tambahan lagi inilah pertama kali dia menjejakkan kaki keluar negara. Dari seorang guru tuisyen, kini dia bergelar mahasiswi semula. Lembaran zaman universitinya yang dahulu telah ditutup selepas berlangsungnya majlis konvokesyen, kini telah dibuka semula. Rakan-rakan seuniversitinya kebanyakan telah bekerja, tidak kurang juga telah berumahtangga. Hana? Dia memilih untuk tidak memikirkan soal kahwin kerana dia arif benar sikap keluarga belah emaknya. Bila ada anak gadis yang belum berkahwin tetapi sudah bekerjaya, mereka rela mengahwinkan anak gadis mereka dengan teruna dari kalangan keluarga sendiri. Alasan yang sering digunapakai ialah kahwin keluarga sendiri ni senang. Sekurang-kurangnya tak sampai hati. Kalau rumahtangga retak, keluarga boleh tolong ikatkan. Hana tidak dapat terima alasan itu. Baginya, jodoh terletak di tangan Allah bukan di tangan keluarga. Kalau sudah perjanjian di Luh Mahfuz dia akan berkahwin dengan orang lain yang bukan dalam kalangan keluarga sendiri, maka orang lain lah. Hana geram benar bila kakak sepupunya cuba untuk mempengaruhi emak supaya mengahwinkan Hana dengan keluarga mereka yang jauh, konon boleh menjamin masa depan kerana lelaki itu kapten kapal. Hana bukan gadis yang gila duit. Jauh sekali. Bagi Hana, biarlah dia berkenan dengan lelaki yang bakal menjadi calon suaminya. Hana ingin memilih juga walaupun dia acap kali mendengar "perigi jangan cari timba".
Lapangan terbang Dunedin setia menanti pengunjungnya. Hana terpegun, mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana masih membenarkan dia menikmati pemandangan asing itu. Seorang lelaki melambainya, menunjuk ke arah teksi. Hana memberi isyarat, memberitahu pemandu teksi bahawa dia tidak mahu menaiki teksi tersebut. Tiba-tiba, seorang lelaki Inggeris datang menyapanya.
"University of Otago?" tanyanya kepada Hana.
"Yes" jawab Hana, segan.
"So, we're on the same boat" ucapnya gembira. Hana mengangkat kening. Lelaki itu mendapatkan teksi tadi dan membayar sejumlah wang untuk menaiki teksi itu.
"Come," katanya. Hana tidak berganjak. Lelaki itu tersenyum. "It's alright. Don't be shy. You know, this time I pay for your cab's fee. Thank you for talking with me during our flight"
Oh. Jadi, dialah lelaki terlebih ramah yang duduk di sebelah Hana semenjak dari KLIA tu. Hana hanya tersenyum. Hambar. Dia kurang mempercayai lelaki tersebut. Walau apapun, dia mesti berhati-hati.
"No worries, I didnt come alone. Ah... there you're, mother" katanya sambil melambai ke arah seorang wanita pertengahan abad. Wanita itu sebelum ini duduk di kerusi bersebelahan dengan Hana dan lelaki Inggeris itu. Hana merasa sedikit lega.
"My name is Jan. Jan Herman" katanya sambil menghulur tangan. Hana tersenyum tetapi tidak berjabat tangan dengannya. Jan sedar akan kesilapannya, lalu menarik tangan yang dihulur dengan muka yang agak kemerahan.
"Sorry. Umm.. what is your name again?" katanya sambil memandang ke arah Hana.
"Hana. Hana Binti Karim" ujar Hana. Jan tersenyum.
"What a simple beautiful name" puji Jan. Hana cuma tersenyum hambar. Tidak termakan pujian. Pemandu teksi tadi datang mendapatkan Hana, mengangkat bagasi dan mempersilakan mereka semua masuk ke dalam teksi. Mereka tidak banyak berbual. Hanya Jan dan emaknya melayan celoteh pemandu teksi itu. Hana dan yang lain tiba di perkarangan kawasan yang Jan katakan popular dengan pelajar Malaysia. Hana terpegun. Subahanallah. Begitu indah kawasan itu. Kediaman pelajar terpacak betul-betul di hadapan mereka. Jan mempersilakan emaknya dan Hana keluar sambil pemandu teksi mengeluarkan barangan mereka dari bonet teksi. Jan meminta diri dari emaknya untuk menguruskan pendaftaran pelajar dan membawa Hana bersamanya. Hana cuma mengekori dari belakang, memerhatikan emak Jan yang tinggal dengan barang-barang mereka berdua.
Setelah hampir setengah jam, Jan dan Hana datang semula mengambil barangan mereka. Mrs. Herman mengucapkan selamat tinggal kepada anaknya dan Hana sambil berlalu pergi menaiki sebuah teksi yang lalu di kawasan itu. Jadi, sebuah apartmen boleh memuatkan empat orang pelajar. Hana tersenyum memikirkan kemungkinan dia akan serumah dengan orang Malaysia juga. Jan membantunya membawa bagasi yang agak sarat sehingga ke penginapannya. Hana mengetuk pintu. Tiada jawapan. Dia mengeluarkan kunci apartmen yang diberikan, lalu masuk. Jan terpegun.
"This is fantastic! I couldn't wait to see my apartment too!"
Bilik Hana menghadap pemandangan pokok pine yang menirus ke atas. Hana sangat gembira. Sedang Hana mendapatkan Jan yang berada di ruang tamu, seseorang menyapanya.
"Hana? Is that you?"
Hana terpegun dengan suara itu. Cepat dia menoleh. Dilihatnya seorang lelaki sedang berdiri di luar pintu apartmen. Seseorang yang dia kenali.
"SIR?!" mata Hana membulat. Terkejut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan