"Entah la, pa. Tadi Ana dah hantar mesej kat penolong kanan satu sekolah tu. Dia cakap kalau dah nampak satu gerai air kelapa namanya Gerai Pak Mat, belok masuk kiri".
"Haa.. ye lah" Papa menjawab spontan sambil menghidupkan radio. Lagu duet Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma sayup-sayup berkumandang. Sekali-sekala Papa ikut menyanyikan lagu tersebut. Bosan agaknya dengan perjalanan yang jauh. Ana memakai kaca mata hitamnya. Perlahan-lahan dia bersandar pada kerusi, sambil telinganya menangkap bait-bait lagu klasik yang masih berdendang.
"Ana... Ana... tolong... " suara lunak seorang perempuan menjentik telinganya. Pantas Ana terjaga. Peluh dingin menitis dari darinya.
"Aih, kamu dah bangun? Papa ingat kamu dah tak nak turun dari kereta ni" seloroh Papa. Ana diam.
"Kamu ni dah kenapa ni?" tanya Papa.
"Erm.. tak da apa-apa lah, Pa. Penat je" balas Ana.
"Haa.. itulah kamu. Papa kan dah pesan awal-awal supaya tidur awal. Ini kamu asyik main game je sampai tengah malam. Apa yang kamu buat kat dalam tu? bagi makan anak ke?" leter Papa.
"Ana kan dah kahwin kat dalam tu, Pa. Ada anak lagi" usik Ana sambil ketawa berdekah.
"Eii budak ni. Kejap lagi Papa bagitau menantu dalam game tu yang Ana ni nakal, nak?" giliran Papa membalas balik. Tajam. Ana mencebik.
"Sudah. Turun sekarang. Baik kita pergi makan dulu" kata Papa. Ana cuma menurut kemahuan Papanya tanpa banyak bicara.
******
"Terima kasih" kata Papa, lalu dia dan Ana berlalu pergi.
Ana membuka pintu kereta. Haruman bunga segar menusuk hidungnya.
"Ai? sejak bila Papa sembur spray pula ni?" monolog Ana sendirian. Dia memutuskan untuk tidak menghiraukan haruman tersebut.
Tidak lama kemudian, kelibat Papa kelihatan keluar dari kedai barangan serbaneka berdekatan. Dia membawa dua plastik besar yang tentunya berisi tupperware yang Mama mahukan. Cepat-cepat Papa masukkan plastik tadi di tempat duduk belakang kereta Mazda tersebut.
"Dah pukul 2 petang ni. Sempat ke jumpa penolong kanan sekolah tu? Dia ada cakap dia tunggu kat mana?" tanya Papa.
"Kat sekolah je, Pa. Dia cakap dia tunggu kat Pejabat Am sekolah" balas Ana.
"Ya lah" kata Papa sambil menghidupkan enjin kereta dan meneruskan perjalanan.
Ana tidak berkata apa-apa sepanjang perjalanan. Papa masih leka mendengar siaran Klasik.fm kegemarannya. Lembu-lembu peliharaan kelihatan meragut rumput di tepi jalan apabila mereka tiba di kawasan perkampungan. Sawah padi di kiri dan kanan jalan kelihatan memukau.
"Gerai Pak Mat" kata Papa tiba-tiba sambil menuding ke arah sebuah gerai kecil yang diperbuat daripada papan.
"Tutup pula, Pa" kata Ana.
"Ambil jalan sebelah kiri kan?" tanya Papa.
"Ya" balas Ana pula.
Papa membelokkan kereta ke arah kiri. Kawasan hutan di kiri dan kanan tanpa kehadiran sebuah rumah sekalipun mengundang rasa kurang selesa antara mereka berdua meskipun jalan berturap tar masih cantik melitupi jalan yang destinasi akhirnya entah kemana.
"Betul ke jalan ni, Ana?" tanya Papa.
"Betul lah kot" kata Ana lagi. Dia juga mula mempersoalkan hal itu dalam benaknya.
Mereka melintasi kawasan tersebut. Lima belas minit kemudian, mereka dapat melihat sebuah apartmen lima tingkat di hadapan, sekurang-kurangnya membuatkan Ana berasa lega.
"Patut lah. Ini kan kawasan bukit. Jauh betul sekolah tu" kata Papa. Spontan.
"Ya lah, Pa. Ana tak perasan signboard sekolah pun kat simpang tadi" kata Ana.
"Papa pun"
Mereka berdua kemudiannya melihat gerbang sekolah yang dimaksudkan. Papa terus memandu ke arah tersebut dan memasuki perkarangan sekolah. Hanya terdapat beberapa buah kereta disitu.
"Papa tunggu sekejap ya. Ana jumpa dengan cikgu tu dulu" kata Ana sambil menggalas beg berisi fail.
"OK" kata Papa.
Laju saja Ana melangkah pergi. Dia tercari-cari Pejabat Am sekolah. Itulah pertama kali dia menjejakkan kaki di sekolah itu.
"Cik Ana Qaleesya?" suara garau seorang lelaki menerpanya. Pantas Ana menoleh. Lelaki yang menyapanya itu memakai kemeja hijau limau dan berseluar hitam.
"Ya, saya" balas Ana sambil tersenyum. Lelaki itu membalas senyumannya.
"Saya penolong kanan sekolah ini. Halim Ashaari. Cik Ana boleh panggil saya Cikgu Halim" kata lelaki itu. Ana mengangguk faham.
"Jadi Cik Ana akan mula bertugas pada Isnin depan seperti yang dimaklumkan oleh kerani sekolah. Baru sampai ke?"
"Ya, cikgu. Terus kemari takut tak sempat jumpa dengan cikgu" balas Ana sambil tersenyum.
"Saya risau juga sebab awak tinggal jauh dari sini. Esok saya akan bertolak ke ibu negeri bersama pengetua jadi takut tak sempat nak maklumkan Cik Ana mengenai jadual dan sebagainya. Marilah ke pejabat saya. Let's discuss" pelawanya sambil membuka pintu.
*******
"Dah, Pa. Cikgu tu bagi jadual mengajar terus. Ana start bertugas Isnin ni" balas Ana girang.
"Pukul 4.30 petang dah ni. Habis kamu tinggal kat mana?" tanya Papa.
"Kawan Ana ada bagi alamat, Pa"
"Kawan lelaki ke perempuan, Ana?" tanya Papa.
"Eh.. perempuan lah, Pa. Nama kawan Ana tu Emilia. Ana panggil Emi je. Dia tinggal dengan adik-beradik perempuan dia. Abang dia ada rumah sendiri" balas Ana lagi.
"Ok. Papa hantar kamu kesana. Tahu jalan tak?" tanya Papa lagi.
"Tak tau, Pa. Macam ni lah, baik kita tanya pengawal sekolah. Mungkin boleh tunjukkan jalan" saran Ana pula.
"Ya lah"
Papa menghidupkan enjin kereta lagi. Mereka menghampiri pondok pengawal. Seorang pengawal berbangsa India sedang bertugas disitu, berbual-bual dengan pekebun sekolah berbangsa Melayu. Pekebun itu kemudiannya kelihatan meminta diri dari situ.
"Selamat petang. Minta maaf mengganggu" sapa Papa.
"Selamat petang, encik. Ada apa yang saya boleh bantu sama encik?" tanya pengawal tersebut.
Ana menghulurkan sekeping kertas bertulis alamat rumah kawannya. "Kami mahu pergi ke kampung ini. Arah jalannya kemana ya?"
"Ooh, kalau alamat ini encik ikut saja jalan lurus di depan sana. Jalan besar. Lima belas minit, encik boleh nampak satu simpang kecil. Ini kampung disimpang itu" kata pengawal tersebut.
"Baiklah. Ada signboard apa-apa tak?" tanya Papa.
"Ada Encik. Jangan risau" balas pengawal itu lagi.
"Baiklah. Terima kasih" kata Papa sambil mengangkat tangan. Pengawal itu membalas dengan mengangkat tangan juga. Mereka berlalu pergi.
"Nasib ada signboard" kata Papa. Ana mengangguk lagi. Lega yang urusannya sudah selesai, tetapi gementar yang dia akan tinggal bersama rakannya, Emi, di kampung halaman rakannya itu. Papa bersenandung sendirian sambil memandu. Pepohon menghijau di kiri dan kanan jalan menenangkan fikiran. Mereka hampir melintasi sebuah apartment lagi tetapi berbeza senibina dari yang pertama mereka jumpa tadi.
"Ya lah, Pa. Nampak baru"
"Belum siap lagi kot. Tengok macam takda penghuni lagi tu" Papa memperlahankan kereta. Bangunan apartment yang dikatakan cantik itu sememangnya tidak berpenghuni.
"Hmm.. Pa, dah turunan bukit ni. Ana rasa yang kat depan simpang kecil tu kot pengawal tadi maksudkan" kata Ana sambil menuding ke arah simpang di sebelah kiri jalan.
"Ha! Itu dia"
Kereta Mazda milik Papa meluncur laju memasuki simpang jalan itu. Jalan ke kampung Emi berturap simen, bukannya tar seperti jalan raya utama. Kali ini terdapat rumah di kiri dan kanan jalan walaupun tidak begitu rapat. Kebanyakan rumah tersebut merupakan rumah yang diperbuat daripada bata dan simen.
"Cantik juga rumah orang-orang kat sini, Ana. Tapi nanti kamu ke sekolah tu naik apa?" Papa bersuara lagi.
"Emi cakap ada bas sekolah yang selalu masuk kat kawasan ni untuk ambil anak-anak orang kampung yang nak bersekolah" balas Ana. Papa mengangguk.
"Eloklah kalau begitu"
"Nombor rumah kawan kamu tu?"
"46, Pa"
"Yang kita baru lalu tadi 43. Dah tak jauh rasanya"
Mereka tiba di depan sebuah rumah kampung bercirikan binaan Melayu tradisional. Halaman rumah sangat bersih walaupun dikelilingi pepohon merimbun di tepi dan belakang rumah tersebut. Bunyi unggas bersahutan kedengaran sayup-sayup. Ana turun dari kereta dan mendekati tangga rumah itu. Sebuah tempayan berisi air sengaja diletakkan disitu.
"Segar kat sini. Padanlah dengan tempatnya. Kaki bukit" Papa mengekori Ana.
"Assalammualaikum" Ana memberi salam. Dia mengulangi lagi salam lagi setelah tidak mendapat jawapan.
"Waalaikumsalam" suara lunak seorang gadis membalas salam tersebut dari tepi kereta. Papa sedikit terkejut. Emi muncul dengan berkain batik dan berbaju kebaya hijau dengan rambutnya dibiarkan terjurai melepasi bahu. Dia membawa nyiru berisi cendawan, yang kemudiannya diletakkan dihadapan kereta Papa.
"Emi!" Ana berlari mendapatkan Emi lantas memeluk erat rakannya itu. Emi membalas pelukannya.
"Baru sampai, Ana?" tanya Emi mesra.
"Ye lah. Tadi sempat ke sekolah lagi jumpa penolong kanan. Kau taulah.. aku terlewat bangun pagi tadi. Sorry lah aku lambat lepas tu tak call kau pula" balas Ana tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"Hmm.. tak pe lah. Sekurang-kurangnya kau dah selamat sampai. Itu lebih penting kan" kata Emi sambil tersenyum, lalu mengangkat nyiru itu sekali lagi.
"Emi, lupa pula. Ini papa aku" kata Ana sambil memperkenalkan papanya.
"Apa khabar Emi?" sapa Papa.
"Sihat, pak cik. Eh.. marilah naik dulu. Emi sediakan minuman" kata Emi mesra.
"Pak cik tak boleh lama disini. Kena balik petang ni juga. Mak cik kamu tu risau memanjang nanti" balas Papa.
"Alah tak pe pak cik. Sekejap je pun" kata Emi. Dia mencedok sedikit air dari tempayan dan membasuh kakinya sebelum naik ke rumah.
Ana dan Papa mengekori Emi. Ruang tamu rumah itu dihiasi langsir bewarna krim, kontra dengan warna kayu. Ruang rumah itu kelihatan luas dah kemas dengan perabot yang sedikit. Kerusi-kerusi rotan beralas kusyen empuk berwarna coklat keemasan disusun rapi membentuk huruf L di suatu sudut rumah tersebut. Hamparan buluh sengaja diletakkan di tengah rumah tersebut. Semuanya kelihatan unik.
"Silakan duduk, pak cik dan Ana. Emi minta diri kedapur dulu" kata Emi.
"Baiklah Emi" kata Papa.
"Ana nak ikut Emi juga, Pa" Ana meminta diri.
"Haa eloklah tu. Kamu tu jangan berat tulang sangat. Pandai-pandai bawa diri" Papa memberi nasihat.
Ana tersengih. Dia menyingkap tirai yang memisahkan antara ruang tamu dan dapur rumah itu. Emi kelihatan sedang menjerang air.
"Emi, biar aku tolong" pelawa Ana.
"Eh, tak pe Ana. Kau duduk lah dulu. Aku boleh buat ni"
"Alah... bukan selalu" balas Ana pula. Emi memandangnya.
"Ye lah.. kau ni. Selalu aku je yang kalah kalau lawan dengan kau, Ana" usik Emi. Ana mengangkat tangan, berlagak seperti seorang atlet yang baru berjaya menghabiskan larian marathon. Emi tergelak kecil.
"Dah Ana. Kau tolong aku buka tin kat atas para tu. Susun kat dalam mangkuk. Ada dalam almari" arah Emi pula. Ana menurut sahaja.
"Waah... wanginya. Biskut kelapa ke ni, Emi?" kata Ana setelah dia berjaya membuka tin yang dimaksudkan.
"Ya. Kakak aku yang buat kemarin" balas Emi. Ana kemudian membuka almari pinggan mangkuk Emi.
"Emi, set pinggan mangkuk kau ni dah boleh dijual ke muzium ni. Bukan senang nak jumpa design macam ni sekarang kau tau tak?" kata Ana. Matanya membulat memerhatikan set pinggan mangkuk yang pada firasatnya agak lama disimpan tetapi dijaga rapi.
"Arwah mak dan ayah aku yang simpan semua tu, Ana. Bukan kau tak tau"
"Ooh jadi masa presentation kita pasal tradisi Melayu tu, barang-barang ni lah yang jadi model ya?" Ana memandang Emi. Minta penjelasan. Emi mengangkat kening berulang kali. Ana menepuk dahinya. Dia menyambung kerjanya menyusun biskut.
"Emi" suara perempuan menyapa Emi menyebabkan Ana hampir melepaskan mangkuk yang berisi biskut tadi ke lantai, tetapi berjaya diselamatkannya. Dia mengurut dada. Seorang wanita muda berdiri di pintu bilik berdekatan dapur. Seperti Emi, dia kelihatan cantik walaupun cuma bersanggul dan memakai baju opah bersama kain batik.
"Kak, kenalkan. Ini kawan Emi yang Emi bagitahu tu. Ana, ini kakak Emi, Anita"kata Emi sambil menuang air panas ke dalam jag. Haruman kopi mengisi ruang dapur itu.
Anita menghulurkan salam kepada Ana sambil tersenyum.
"Ana boleh panggil kak Ita je" katanya.
Ana berasa lega. Sekurang-kurangnya kakak Emi ini seorang yang peramah.
"Kak, abang long tak datang ke?" tanya Emi.
"Along cakap lepas Maghrib dia datang. Along ada kerja" dia memberi isyarat yang Ana sendiri tidak mengerti. Emi mengangguk.
"Ana, tolong aku angkatkan talam berisi cawan dengan biskut tadi ya. Jag panas ni biar aku yang angkat" kata Emi pula.
"Ye lah" kata Ana pula. Mereka kembali ke ruang tamu. Papa kelihatan sedang sibuk memerhatikan potret keluarga yang tergantung di dinding rumah itu.
"Haa.. Emi. Kamu ada seorang kakak dan adik perempuan rupanya. Mana mereka?" tanya Papa.
"Kakak baru terjaga, pak cik. Adik Emi ada kat rumah abang long" balas Emi sambil menuang kopi panas ke dalam cawan.
"Begitu"
"Adik Emi tu baru habis SPM. Jadi sementara menunggu peluang kerja, dia bantu Along sediakan makan minum sementara Along pergi kerja. Silakan minum pak cik, Ana"
Cawan diagihkan kepada kedua tetamunya.
"Eloklah begitu. Ni, Emi. Kamu tolong tengok-tengokkan si Ana ni sementara dia kerja kat sini. Kalau dia tak bantu kamu buat kerja rumah, bagitau pak cik" kata Papa. Ana tersengih.
"Ya lah pak cik" balas Emi. Mereka minum sambil Ana dan Emi berbual-bual.
"Pak cik nak panaskan enjin kereta dulu. Dah pukul lima suku ni. Kalau malam sangat nanti mak cik kamu kunci pak cik pulak kat luar rumah. Kamu teruskanlah berbual dulu" kata Papa. Emi mengangguk.
******
"Ana, kereta tak mahu hidup pula. Entah apa lagi masalah kereta ni" Papa kembali ke ruang tamu. Letih. Ana memandang Papanya dengan rasa tidak percaya."Jadi, Pa?" tanya Ana.
"Tak pa, pak cik. Bermalam je kat sini dulu" Emi yang baru kembali dari dapur memberi saran.
"Alah Emi ni. Susah-susah je. Ni Emi, ada tak bengkel berdekatan? Pak cik boleh call lagi ni" kata Papa.
"Bengkel jauh dari sini, pak cik. Tapi saya boleh tengokkan kereta pak cik" seorang lelaki berumur lingkungan lewat 30an tiba-tiba muncul di hadapan pintu. Mereka semua memandangnya.
"Along. Bila sampai?" tanya Emi.
"Baru lagi. Ira pun ikut sekali" katanya. Dia melangkah masuk dan menghulurkan salam kepada Papa. Papa menyambut salamnya.
"Pak cik, ini Along kami. Abang Borhan" Emi sekali lagi memperkenalkan adik-beradiknya.
"Oh Borhan. Baguslah. Pak cik tak tahu apa lagi masalah kereta pak cik tu. Tak mahu hidup. Dah nak malam ni" kata Papa.
"Kalau begitu biar saya tengokkan sekarang" pelawa Borhan. Mereka kemudiannya berlalu pergi.
"Dah Ana. Mana barang kau? Aku tunjukkan bilik. Ok?" kata Emi.
"Biar aku angkut dulu dari kereta, Emi" balas Ana sambil tersengih. Dia meminta diri. Dari beranda rumah, jelas kelihatan Borhan yang sedang sibuk menggelengkan kepalanya dan menjelaskan sesuatu kepada Papa. Papa kelihatan kecewa.
******
"Baiklah. Terima kasih, Emi" kata Papa.
"Sama-sama. Sekejap lagi makan malam siap. Along pun makan malam dengan kami malam ni jadi nanti Emi minta Ana panggilkan pak cik" kata Emi.
"Baiklah"
Ana memasuki ruangan itu semasa Emi berlalu pergi. Ana memerhatikan pemandangan belakang rumah melalui tingkap bilik itu. Tangki air betul-betul berada di belakang biliknya yang terletak bersebelahan bilik Papanya. Borhan kelihatan menghidupkan api di halaman belakang rumah dengan puntungan kayu sederhana besar dan panjang.
"Pa, dah call Mama?" tanya Ana.
"Dah. Mama tak angkat jadi Papa hantar mesej je" kata Papa.
"Okay"
"Yang kamu kat sini ni kenapa? tolong sikit Emi tu kat dapur. Kesian dia" kata Papa lagi. Ana tersengih dan berlalu dari situ. Semasa dia melangkah masuk ke dapur, Emi dan dua lagi adik-beradik perempuannya sedang sibuk menyediakan juadah makan malam. Ira, adik bongsu Emi kelihatan diam. Mereka bertiga sudah menukar pakaian tetapi kali ini ketiga-tiganya mengenakan baju kurung.
"Kak Ita, ada apa-apa yang boleh Ana tolong?" tanya Ana. Anita tersenyum dan menghulurkan sebakul telur ayam kepada Ana.
"Tolong akak pukulkan tujuh biji telur. Nak masak telur dadar berempah" katanya.
"Okay kak. Ana buatkan"
Emi sibuk mengacau nasi di dalam periuk. Semua mereka berdiam diri. Masing-masing sibuk dengan kerja.
"Kak, Ana nak pinjam bilik air. Nak mandi dulu" kata Ana sesudah selesai membantu di dapur. Kelengkapan mandinya sudah tersedia. Nasi dan lauk-pauk sudah dimasak. Emi kemudiannya menunjukkan arah bilik air kepada Ana.
"Nanti lepas mandi, jangan lupa makan tau. Aku minta Along panggilkan Papa kau juga" kata Emi dibalik pintu bilik air tersebut.
"Ya lah" balas Ana.
Bilik air yang terletak di bahagian dapur ini mempunyai kolah air. Cermin di dalam bilik air itu tidak terurus. Sudut cermin tersebut dipenuhi kulat kehijauan. Entah kenapa hidung Ana menangkap bau hanyir yang tidak menyenangkan. Sangkanya bau itu mungkin datang dari tumpahan telur semasa dia menyediakan telur dadar berempah. Belum sempat Ana menanggalkan baju, sesuatu bergerak di bawah telapak kakinya. Dia kemudiannya melompat ketepi. Ngeri dan geli dengan apa yang dilihatnya. Ulat-ulat segar bertaburan di lantai bilik air dan juga lubang tandas. Ana menyiram ulat-ulat tersebut dengan air dari kolah. Dia mencapai tualanya, lalu meluru keluar dari bilik mandi.
"Ana, ada apa ni?" tanya Borhan yang duduk sendirian di ruang tamu.
"tak ada apa-apa, abang Borhan" kata Ana. Dia cepat-cepat masuk ke dalam bilik dan menghidupkan lampu.
"EMI!" katanya. Separuh terperanjat. Emi duduk di atas katil sambil memerhatikannya. Kelambu sudah terpasang.
"Ana maaf. Tadi aku pasang kelambu kau. Makan malam dah siap terhidang" kata Emi sambil tersenyum.
"Ana, jom makan sekali. Kamu dah siap?" suara Papa kedengaran di balik pintu.
"Datang, Pa" kata Ana. Emi bangkit dari katil lalu mengisyaratkan kepada Ana untuk dia menyusul keluar nanti.
******
"Ana, kamu tak makan?" tanya Papa bila dia menyedari Ana tidak berganjak mencedok apa-apa ke dalam pinggannya.
"Eh... mestilah makan, Pa. Kak Ita dan Emi masak sedap tu tadi" kata Ana tidak mahu mengecilkan hati tuan rumah. Anita dan Emi tersenyum dipuji sebegitu. Borhan sebaliknya tidak menunjukkan sebarang reaksi, begitu juga dengan Ira. Dia mencedok sedikit makanan ke dalam pinggannya. Mereka menjamah makan malam tanpa sebarang perbualan.
"Ita, along ada beli buah tembikai tadi. Mana kamu letak, Ira?" tanya Borhan tiba-tiba setelah semua orang selesai makan.
"Ada dekat dengan almari pinggan, along" akhirnya Ira bersuara. Anita bangun dan mengambil buah tembikai tersebut dan sedia untuk membelahnya.
"Nanti, Ita. Bawa ke dalam dulu. Biar semua orang duduk kat dalam. Emi kemaskan dapur dulu dan Ira tolong Emi. Ana boleh ikut abang" arah Borhan. Anita menurut tanpa sebarang kata. Begitu juga dengan Emi dan Ira. Ana dan Papa mengekori Borhan.
Mereka kemudiannya duduk di atas tikar buluh ditengah ruang rumah. Borhan mengeluarkan sesuatu dari dalam poketnya. Pisau ukiran. Dia mengisyaratkan Anita supaya memotong buah tembikai itu kepada beberapa bahagian. Kemudian, Emi masuk membawakan beberapa buah pinggan kosong untuk meletakkan buah tembikai yang dipotong, dan diagihkan kepada semua orang. Lebihan buah tembikai yang tinggal diambil oleh Borhan yang sedia untuk mengukir kulit tembikai tersebut.
Anehnya, ukiran yang dibuatnya sangat cantik. Papa kelihatan terpana. Borhan membuat ukiran bunga lili dan menunjukkannya kepada Ana.
"Wah.. macam bunga betul!" puji Ana. Borhan tersenyum.
"Abang boleh ukir bunga kat pasu di beranda tu" kata Borhan. Dia berdiri dan mengambil sepasu bunga yang ditanam berlainan warna.
"Tengok. Abang ukir bunga ni dengan pisau ukiran" dia menunjukkan hasil kerjanya. Bunga hidup yang kelopaknya juga diukir membentuk kelopak tambahan. Papa memerhati seakan tidak percaya.
"Borhan, bunga ni nipis. Mustahil nak ukir kelopak tambahan begini" kata Papa.
"Tidak bagi saya, pak cik. Ini senang saja" katanya. Papa terdiam.
"Bunga ni saya sendiri yang tanam. Semuanya kat beranda tu saya juga yang tanam. Jadi saya buat ujikaji sendiri" kata Borhan. Dia kemudiannya menghulurkan air basuhan tangan kepada Papa dan Ana, sambil Emi dan yang lain mengangkat pinggan berisi kulit tembikai ke dapur.
Hujan renyai-renyai kedengaran menghentam atap rumah.
"Along, Ira masuk tidur dulu" kata Ira tiba-tiba dari tirai dapur.
"Anita juga"
Borhan hanya membiarkan mereka berlalu pergi. Asap nipis masih lagi mengisi ruang rumah.
"Pak cik, dah lewat malam ni. Mungkin lebih baik pak cik berehat dulu. Esok saya tengokkan lagi kereta pak cik tu atau saya panggil kawan datang tolong" kata Borhan.
"Ya lah Borhan. Elok lah. Habis malam ni kamu nak tidur kat mana? kalau tak ada tempat, kongsi dengan pak cik je" kata Papa.
"Tak pa, pak cik. Saya boleh tidur di bilik arwah mak ayah kat sebelah bilik pak cik tu"
"Baguslah kalau begitu. Haa.. pak cik tidur dulu ya. Emi, Ana.. kamu berdua pun masuk tidur juga"
Ana tersenyum. Akhirnya dapat juga dia berehat. Emi dan Borhan tidak berganjak.
"Emi, tak tidur ke?" tanya Ana.
"Ana tidurlah dulu. Emi ada nak bincang dengan along" kata Emi.
Ana merasa sedikit pelik. "Apa sangat yang nak dibincangkannya malam macam ni. Ah... biarlah. Hujan macam ni yang paling best nak tidur" monolognya sendirian.
Dia mengeluarkan sehelai selimut dari dalam begnya dan melangkah masuk ke dalam kelambu. Sambil berbaring, fikirannya melayang ke arah game online yang selalu dimainkannya. Memikirkan pasangannya di dalam permainan maya itu. Entah apa yang dibuat jejaka itu sekarang. Matanya terasa berat...
"Ana... Ana... tolong aku Ana... "
PUFFFF! Ana terbaring di atas lantai hutan. Rambutnya bersalut debu dan dedaun kering melekat kesan terjatuh dari tempat yang tinggi.
"BORHAN! Kenapa kau tolak pinangan aku hah?! Kita kawan lama, Borhan. Sampai hati kau buat aku macam ni!" kedengaran suara seorang lelaki berteriak dari balik timbunan ranting dan daun getah kering yang meninggi. Borhan yang sedang mengangkut susu getah meletakkan baldi yang dibawanya diatas tanah.
"Hikmal. Sabar. Aku ada penjelasan. Dengar..." belum sempat Borhan menerangkan, lelaki yang bernama Hikmal itu menghayun penumbuk padu tepat ke perut Borhan. Ana terkejut, tetapi tidak berganjak dari tempatnya.
"SABAR??? Aku dah lama suka pada Emi! Kau dan Anita cuma jadi penghalang aku!" Hikmal menumbuk Borhan sekali lagi. Borhan mengadu kesakitan.
"Hikmal, aku bukan menghalang tapi kau perlu tahu sesuatu..." Borhan cuba bangkit tetapi Hikmal memijak dadanya.
"PERSETANKAN SEMUANYA. DARI ARWAH AYAH KAU SAMPAILAH KAU SENDIRI, SEMUANYA JADI PENGHALANG AKU! KAU ORANG HANTAR EMI BELAJAR JAUH DARI SINI SUPAYA AKU TAK DAPAT DEKAT DENGAN DIA!" Hikmal sudah hilang pertimbangan. Dari jauh Ana dapat melihat pergelutan dua lelaki itu.
"HIKMAL! JANGAN!" teriak Anita dari suatu sudut. Dia yang berbaju kurung berlari menuju ke arah Hikmal dan Borhan yang sedang bergelut.
"Ita, jangan masuk campur" kata Borhan yang semakin lemah.
"Along .. tapi... "
Hikmal semakin mengganas. Dia menendang Borhan sekuat hati. Ana berdebar melihat pergelutan itu tetapi dia tidak dapat berganjak dari tempatnya berdiri seakan-akan kakinya digam disitu. Borhan kelihatan memuntahkan darah segar selepas diseksa oleh Hikmal.
"HIKMAL!" Suara garau seorang lelaki membuatkan Hikmal terhenti.
"Pak cik Mahat" Hikmal perlahan-lahan berundur dan berlari pergi.
"Borhan. Anita.. kamu berdua pulang lah. Si Hikmal tu dah naik gila" kata lelaki itu. Ana teringat pekebun sekolah yang dilihatnya siang tadi.
"Baiklah, pak cik" kata Anita.
Anita memapah Borhan yang semakin lemah pulang ke rumahnya.
"Hantar Along pulang ke rumah Along, Ita. Kau orang jangan susah hati"
"Tapi long, luka sangat ni" kata Anita. Risau.
"Jangan...mem..ban..tah..."Borhan pengsan di tengah jalan.
"PAK CIK MAHAT... TOLONG..." teriak Anita. Lelaki yang dipanggil Pak cik Mahat itu sekali lagi berlari mendapatkan mereka berdua.
"Anita, kamu pergi ke rumah ketua kampung. Sekarang. Minta dia datang ke rumah kamu. Biar pak cik bawa si Borhan ni kesana dulu. Panggilkan Mak Senah sekali"
"Ba..baiklah pak cik"
Anita menghilang dari kebun getah itu. Pak cik Mahat membawa Borhan yang sedang pengsan itu di atas kereta sorongnya.
Keadaan di hadapan Ana berubah. Kali ini dia berdiri di beranda rumah Emi.
"Tok, macam mana ni Tok? Kalau kita tak bertindak sekarang, si Hikmal tu nanti membuat onar lagi" suara Pak cik Mahat kedengaran.
Tok ketua kampung menggelengkan kepalanya. Hikmal satu-satunya anak saudara lelakinya yang dia harapkan boleh memimpin masyarakat kampung.
"Aku juga tak suka melihat keadaan ini, Mahat. Yang jadi mangsa si Borhan ni, tak Borhan si Anita"
Dia memerhatikan Borhan yang terbaring tidak sedarkan diri sedang dirawat oleh Mak Senah, bidan kampung itu.
"Tok, sampai bila kita nak rahsiakan perkara itu tok? Saya fikir Hikmal patut tahu"
"Apa maksud kamu, Senah?" tanya Pak cik Mahat. Ana berdebar.. menanti jawapan dari wanita tua yang dipanggil Mak Senah itu.
Whoooosssshhhhhhh!! Kali ini Ana berdiri jauh dari rumah Emi. Api besar menjilat rumah tradisional keluarga Emi, tetapi tiada seorang manusia pun yang membantu memadamkan kebakaran itu. Tidak jauh dari situ, kelihatan lelaki yang bernama Hikmal tadi tersenyum puas. Seorang lelaki tua beruban berdiri bersamanya memerhatikan rumah yang terbakar itu.
"Tolong...tolong...tolong aku, Ana..."
Ana kenal benar dengan suara itu. Emi... Emi di dalam rumah. Dia terperangkap! Ana cuba membantu tetapi dia tidak dapat berganjak.
Suara ketawa Hikmal kedengaran.
"Pak Munir, kalau aku tak dapat Emi... tak ada lelaki lain akan dapat dia juga! Dia milik aku... hahahahaha" mereka ketawa berdekah-dekah.
"Kau memang bijak, Hikmal. Bijak" lelaki tua itu menghilang bagaikan kabus. Hikmal menoleh ke kiri dan kanan mencari kelibat lelaki itu tetapi hampa.
"Baru puas hati aku. Puas. Rasakan, Borhan!" Hikmal berlalu pergi.
******
"Ana..... Anaaaaa"
Ana berdebar. Ini bukan lagi mimpi yang sedang dialaminya.
"Anaaa.... aku sakit Ana... tolong aku...."
"Anaaaaa... tolong....tolongggggggg"
kali ini suara Anita dan Ira berkumandang bersilih ganti. Pintu biliknya diketuk bagaikan mahu pecah. Ana mengambil bantal dan menyambung tidurnya. Dia berharap semuanya akan berlalu.
******
"Kita...kita kat mana ni, Pa?" tanya Ana. Bingung.
"Mari pergi dari sini, Ana" Papa membawa Ana pergi dari situ bersama beg pakaiannya.
"Apa dah jadi, Pa?" tanya Ana lagi. Papa tidak berkata apa-apa, tetapi terus menghidupkan enjin kereta. Matahari mula terbit tinggi apabila mereka meninggalkan kesan runtuhan rumah tadi.
"Semalam Papa nampak Borhan melambai-lambai. Bukan rupa dia lagi"
"Pa.. Emi, Pa... Emi dah tak ada" Ana akhirnya memberitahu papanya.
"Hah? Habis siapa yang menelefon kamu? Bila kamu dapat alamat dia?" tanya Papa. Panik.
"Dua bulan lepas Emi bagi alamat tu. Bila Ana bagitahu Emi yang Ana akan bertugas jadi guru kat sini, dia minta Ana tinggal dengan dia orang, Pa. Katanya lebih baik Ana kat sini. Ada juga temankan dia dan adik-beradiknya" balas Ana terketar-ketar.
"Bila kali terakhir kamu sendiri telefon dia?" tanya Papa lagi. Peluh menitis dari dahinya.
"Bulan lepas, Pa. Masa tu yang Ana confirmkan kat Emi. Lepas tu ada sekali tu Emi call Ana tapi Ana tak sambut. Masuk voicemail"
"Apa dia cakap?"
"Tak ada, Pa. Ana dengar suara macam angin je"
"Ya Allah. Apa dah jadi ni, Ana? Dah... sekarang Ana tak ada tempat tinggal. Nak pergi mana? Isnin dah bertugas"
"Kejap, Pa. Jom pergi sekolah tu lagi. Ana nak jumpa seseorang"
Papa merenungnya. Tidak percaya. Dia meneruskan perjalanan untuk sampai ke sekolah yang dimaksudkan lagi.
Sebaik sahaja kereta Mazda itu cuba melepasi perkarangan sekolah, pengawal berbangsa India yang mereka temui sehari sebelumnya sudah melambai, menyuruh mereka berhenti. Pekebun sekolah berbangsa Melayu yang Ana lihat juga berlari mendapatkan mereka.
"Aiyo Encik... apa sudah jadi? Saya ada panggil Encik tapi Encik drive laju saja" kata pengawal itu. Papa keluar dari dalam kereta, begitu juga dengan Ana.
"Pak cik Mahat" kata Ana tiba-tiba. Mereka semua memandangnya.
"Macam mana kamu tahu?" tanya pekebun itu.
Ana mula menceritakan segala-galanya.
******
"Begini, Encik Latif. Hikmal dan Emi tu adik-beradik. Munir dukun dari kampung sebelah dan terkenal dengan ilmunya suatu masa dulu. Dia menyalahgunakan ilmunya untuk mendapatkan wang daripada ayah Hikmal sendiri. Keluarga Borhan menjadi mangsa termasuklah Emi"
"Habis tu, Encik Mahat, takkan orang kampung tak tahu?" tanya Papa.
"Tak ada yang tahu melainkan adik kandung ayah Hikmal, keluarga Borhan dan bidan Senah sendiri. Saya sendiri dengar pengakuan ini bila si Hikmal tu mencederakan Borhan. Itupun dari bidan Senah sendiri"
"Tapi Pak cik, apa dah jadi dengan ayah Hikmal?" tanya Ana pula.
"Dia meninggal selepas Munir menghantar ilmu hitamnya kerana tidak memberi bayaran yang diminta, iaitu anak lelakinya sendiri. Hikmal." pak cik Mahat menerangkan dengan nada kesal.
"Maksud encik?"
"Munir mahukan pewaris untuk ilmunya. Hikmal yang panas baran itu difikirkannya sesuai"
Mereka semua menarik nafas dalam.
"Hikmal tidak ditemui lagi selepas dia membakar rumah Borhan dan menyebabkan kematian empat nyawa di dalam rumah itu sebulan yang lepas"
"Apa? tapi Ana berhubung dengan Emi sebulan yang lepas. Dua minggu lepas Emi telefon juga"
"Emi meninggal sebulan yang lepas"
Ana berasa kakinya tidak memijak tanah lagi.
"Apa yang kamu mimpikan itu betul-betul berlaku sebulan yang lepas. Emi terperangkap di dalam rumah itu. Bila kami semua tiba di lokasi kejadian, kami temui mayat Anita dan Ira bersama-sama dengan mayat Borhan sedang merangkul satu sama lain. Mayat Emi pula terperangkap di bawah runtuhan papan rentung. Betul-betul di bilik yang berada berdekatan dengan tangki air"
Ana tidak berkata apa-apa lagi. Papa meletakkan tangannya di bahu Ana.
"cik Ana, mungkin cik patut pulang saja hari ini. Disini bukan tempat untuk cik tinggal" kata pengawal itu.
"Tapi saya bertugas esok"
"Dengar saja apa yang dikatakan, Ana. Kami berdua tahu yang kamu berjumpa dengan Encik Halim juga"
"Maksud pak cik penolong kanan satu?"
"Encik Halim baru meninggal, Ana"
Mata Papa membulat. Ana juga terperanjat.
"Sebelum kamu tiba disini, Encik Halim terlibat dalam kemalangan jalan raya bersama isterinya. Mereka mati di tempat kejadian"
"Habis? siapa yang Ana jumpa kemarin?" tanya Ana.
"Mungkin dia datang kerana dia dah berjanji mahu berjumpa kamu, Ana" kata Papa.
"sama macam Emi. Ana janji nak jumpa dia..."
"kami tahu sebab Mahat nampak kamu bercakap seorang diri, dan masuk ke dalam pejabat Encik Halim bila semua orang tahu pejabat itu berkunci"
Mereka semua berdiam diri.
"Tiada urusan pengambilan guru baru di sekolah ini juga" kata pengawal itu.
Ana memandangnya. Hairan.
"Nanti kamu fahamlah, Ana. Balik saja ikut Papa kamu. Keluar dari sini sebelum matahari condong ke barat lebih baik. Saya minta diri dulu" kata pak cik Mahat.
"Baiklah. Terima kasih encik. Kami pergi dulu" kata Papa kepada kedua-dua pengawal dan pekebun sekolah.
Kereta Mazda meluncur laju sekali lagi tetapi kali ni keluar dari kawasan tersebut. Setelah beberapa ketika, mereka akhirnya berjumpa dengan Gerai Pak Mat. Kali ni gerai itu dibuka. Pemiliknya memerhatikan kedua Ana dan Papanya keluar dari kereta dengan kehairanan jelas terpancar di wajahnya.
"Encik, saya nak Nescafe O kurang manis ya" kata Papa.
"Saya Milo suam, pak cik" kata Ana pula. Pemilik gerai mengambil pesanan.
"Makan? Saya baru siap menggoreng mee. Ada telur mata dan sosej juga. Nasi goreng dan nasi kuning pun ada" kata pemilik gerai.
"Nasi kuning dua" kata Papa spontan.
Tidak lama selepas itu, pesanan yang diminta pun sampai. Ana menjamah hidangan tadi perlahan-lahan.
"Pa, kalau Papa ingat..tak ada kereta pun yang lalu ikut jalan tu kan?"
Pemilik gerai yang kelihatan berminat dengan perbualan itu, turut sama duduk semeja bersama mereka.
"Encik, minta maaf kalau saya jadi penyibuk tapi Encik nampak sekolah di atas bukit juga?"
"Ya. Kami pergi kesana sebab mereka panggil anak saya untuk bertugas"
"Sekolah tu tak wujud, Encik"
Ana berhenti menyuap. Papa juga kelihatan menelan air liurnya.
"Tapi pak cik, kawan saya Emi tinggal di kawasan kampung berdekatan. Kemudian pengawal juga beritahu saya penolong kanan sekolah meninggal dunia.. kemalangan.."
"cik, memang ada kampung kat dalam ni. Ada tujuh buah kampung utama yang ada di dalam ni tapi sekolah tak ada. Kalau cik nak tahu, di kawasan itulah penolong kanan sekolah bernama Encik Halim meninggal dunia. Dia balik ke kampung bersama isterinya tetapi kereta yang dipandunya terjatuh dalam gaung"
Ana terdiam. "Bagaimana pula dengan pengawal dan pekebun sekolah?"
Pemilik gerai itu kelihatan berkira-kira hendak memberitahu perkara sebenar.
"Pengawal sekolah dan pekebun yang kamu nampak... bukan manusia, cik"
"Saya tahu pak cik Mahat manusia"
"cik, mungkin Mahat manusia sebenar tetapi itu kawasan keras. Kemungkinan kamu berjumpa dengan Mahat dari alam lain"
"maksud encik?" tanya Papa pula.
"Dah ramai yang terkena begini, encik. Dah ramai juga yang terkorban di tempat itu kerana sejarahnya, kawasan itu mahukan darah. Encik patut bersyukur dapat keluar dari tempat itu hidup-hidup. Ramai yang pergi kesana tetapi cuma beberapa sahaja yang mampu keluar"
"Habis tu, bagaimana dengan orang kampung?"
"Orang kampung mempunyai jalan alternatif lain. Mereka masih boleh keluar tetapi bukan melalui jalan ini" pemilik gerai menunjukkan simpang kecil bersebelahan gerainya.
Ana dan Papa tidak berkata apa-apa lagi.
"Kadang-kadang, apa yang mata kita boleh lihat juga boleh menipu kita" kata pemilik gerai, lalu berlalu pergi. Menghilang bagaikan kabus.