Hi


Jumaat, 25 November 2016

Rumah Kampung di Kaki Bukit

"Jauh lagi ke sekolah kamu ni?" Papa bertanya untuk yang kesekian kalinya. Kereta yang lalu dari arah bertentangan jalan kurang benar.

"Entah la, pa. Tadi Ana dah hantar mesej kat penolong kanan satu sekolah tu. Dia cakap kalau dah nampak satu gerai air kelapa namanya Gerai Pak Mat, belok masuk kiri".

"Haa.. ye lah" Papa menjawab spontan sambil menghidupkan radio. Lagu duet Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma sayup-sayup berkumandang. Sekali-sekala Papa ikut menyanyikan lagu tersebut. Bosan agaknya dengan perjalanan yang jauh. Ana memakai kaca mata hitamnya. Perlahan-lahan dia bersandar pada kerusi, sambil telinganya menangkap bait-bait lagu klasik yang masih berdendang.

"Ana... Ana... tolong... " suara lunak seorang perempuan menjentik telinganya. Pantas Ana terjaga. Peluh dingin menitis dari darinya.

"Aih, kamu dah bangun? Papa ingat kamu dah tak nak turun dari kereta ni" seloroh Papa. Ana diam.

"Kamu ni dah kenapa ni?" tanya Papa.

"Erm.. tak da apa-apa lah, Pa. Penat je" balas Ana.

"Haa.. itulah kamu. Papa kan dah pesan awal-awal supaya tidur awal. Ini kamu asyik main game je sampai tengah malam. Apa yang kamu buat kat dalam tu? bagi makan anak ke?" leter Papa.

"Ana kan dah kahwin kat dalam tu, Pa. Ada anak lagi" usik Ana sambil ketawa berdekah.

"Eii budak ni. Kejap lagi Papa bagitau menantu dalam game tu yang Ana ni nakal, nak?" giliran Papa membalas balik. Tajam. Ana mencebik.

"Sudah. Turun sekarang. Baik kita pergi makan dulu" kata Papa. Ana cuma menurut kemahuan Papanya tanpa banyak bicara.

******

"Kamu tunggu sekejap kat kereta. Nah kunci. Papa nak pergi kedai depan tu sekejap. Mama dah pesan awal-awal nak tupperware besar. Karang kalau tak beli, bising lagi dia" kata Papa sambil menghulurkan kunci kereta. Ana mengangguk perlahan. Pelayan restoran datang membawa baki wang selepas Papa membayar bil makanan tadi.

"Terima kasih" kata Papa, lalu dia dan Ana berlalu pergi.

Ana membuka pintu kereta. Haruman bunga segar menusuk hidungnya.

"Ai? sejak bila Papa sembur spray pula ni?" monolog Ana sendirian. Dia memutuskan untuk tidak menghiraukan haruman tersebut.

Tidak lama kemudian, kelibat Papa kelihatan keluar dari kedai barangan serbaneka berdekatan. Dia membawa dua plastik besar yang tentunya berisi tupperware yang Mama mahukan. Cepat-cepat Papa masukkan plastik tadi di tempat duduk belakang kereta Mazda tersebut.

"Dah pukul 2 petang ni. Sempat ke jumpa penolong kanan sekolah tu? Dia ada cakap dia tunggu kat mana?" tanya Papa.

"Kat sekolah je, Pa. Dia cakap dia tunggu kat Pejabat Am sekolah" balas Ana.

"Ya lah" kata Papa sambil menghidupkan enjin kereta dan meneruskan perjalanan.

Ana tidak berkata apa-apa sepanjang perjalanan. Papa masih leka mendengar siaran Klasik.fm kegemarannya. Lembu-lembu peliharaan kelihatan meragut rumput di tepi jalan apabila mereka tiba di kawasan perkampungan. Sawah padi di kiri dan kanan jalan kelihatan memukau.

"Gerai Pak Mat" kata Papa tiba-tiba sambil menuding ke arah sebuah gerai kecil yang diperbuat daripada papan.

"Tutup pula, Pa" kata Ana.

"Ambil jalan sebelah kiri kan?" tanya Papa.

"Ya" balas Ana pula.

Papa membelokkan kereta ke arah kiri. Kawasan hutan di kiri dan kanan tanpa kehadiran sebuah rumah sekalipun mengundang rasa kurang selesa antara mereka berdua meskipun jalan berturap tar masih cantik melitupi jalan yang destinasi akhirnya entah kemana.

"Betul ke jalan ni, Ana?" tanya Papa.

"Betul lah kot" kata Ana lagi. Dia juga mula mempersoalkan hal itu dalam benaknya.

Mereka melintasi kawasan tersebut. Lima belas minit kemudian, mereka dapat melihat sebuah apartmen lima tingkat di hadapan, sekurang-kurangnya membuatkan Ana berasa lega.

"Patut lah. Ini kan kawasan bukit. Jauh betul sekolah tu" kata Papa. Spontan.

"Ya lah, Pa. Ana tak perasan signboard sekolah pun kat simpang tadi" kata Ana.

"Papa pun"

Mereka berdua kemudiannya melihat gerbang sekolah yang dimaksudkan. Papa terus memandu ke arah tersebut dan memasuki perkarangan sekolah. Hanya terdapat beberapa buah kereta disitu.

"Papa tunggu sekejap ya. Ana jumpa dengan cikgu tu dulu" kata Ana sambil menggalas beg berisi fail.

"OK" kata Papa.

Laju saja Ana melangkah pergi. Dia tercari-cari Pejabat Am sekolah. Itulah pertama kali dia menjejakkan kaki di sekolah itu.

"Cik Ana Qaleesya?" suara garau seorang lelaki menerpanya. Pantas Ana menoleh. Lelaki yang menyapanya itu memakai kemeja hijau limau dan berseluar hitam.

"Ya, saya" balas Ana sambil tersenyum. Lelaki itu membalas senyumannya.

"Saya penolong kanan sekolah ini. Halim Ashaari. Cik Ana boleh panggil saya Cikgu Halim" kata lelaki itu. Ana mengangguk faham.

"Jadi Cik Ana akan mula bertugas pada Isnin depan seperti yang dimaklumkan oleh kerani sekolah. Baru sampai ke?"

"Ya, cikgu. Terus kemari takut tak sempat jumpa dengan cikgu" balas Ana sambil tersenyum.

"Saya risau juga sebab awak tinggal jauh dari sini. Esok saya akan bertolak ke ibu negeri bersama pengetua jadi takut tak sempat nak maklumkan Cik Ana mengenai jadual dan sebagainya. Marilah ke pejabat saya. Let's discuss" pelawanya sambil membuka pintu.

*******

"Haa.. dah siap?" tanya Papa bila Ana membuka pintu kereta.

"Dah, Pa. Cikgu tu bagi jadual mengajar terus. Ana start bertugas Isnin ni" balas Ana girang.

"Pukul 4.30 petang dah ni. Habis kamu tinggal kat mana?" tanya Papa.

"Kawan Ana ada bagi alamat, Pa"

"Kawan lelaki ke perempuan, Ana?" tanya Papa.

"Eh.. perempuan lah, Pa. Nama kawan Ana tu Emilia. Ana panggil Emi je. Dia tinggal dengan adik-beradik perempuan dia. Abang dia ada rumah sendiri" balas Ana lagi.

"Ok. Papa hantar kamu kesana. Tahu jalan tak?" tanya Papa lagi.

"Tak tau, Pa. Macam ni lah, baik kita tanya pengawal sekolah. Mungkin boleh tunjukkan jalan" saran Ana pula.

"Ya lah"

Papa menghidupkan enjin kereta lagi. Mereka menghampiri pondok pengawal. Seorang pengawal berbangsa India sedang bertugas disitu, berbual-bual dengan pekebun sekolah berbangsa Melayu. Pekebun itu kemudiannya kelihatan meminta diri dari situ.

"Selamat petang. Minta maaf mengganggu" sapa Papa.

"Selamat petang, encik. Ada apa yang saya boleh bantu sama encik?" tanya pengawal tersebut.

Ana menghulurkan sekeping kertas bertulis alamat rumah kawannya. "Kami mahu pergi ke kampung ini. Arah jalannya kemana ya?"

"Ooh, kalau alamat ini encik ikut saja jalan lurus di depan sana. Jalan besar. Lima belas minit, encik boleh nampak satu simpang kecil. Ini kampung disimpang itu" kata pengawal tersebut.

"Baiklah. Ada signboard apa-apa tak?" tanya Papa.

"Ada Encik. Jangan risau" balas pengawal itu lagi.

"Baiklah. Terima kasih" kata Papa sambil mengangkat tangan. Pengawal itu membalas dengan mengangkat tangan juga. Mereka berlalu pergi.

"Nasib ada signboard" kata Papa. Ana mengangguk lagi. Lega yang urusannya sudah selesai, tetapi gementar yang dia akan tinggal bersama rakannya, Emi, di kampung halaman rakannya itu. Papa bersenandung sendirian sambil memandu. Pepohon menghijau di kiri dan kanan jalan menenangkan fikiran. Mereka hampir melintasi sebuah apartment lagi tetapi berbeza senibina dari yang pertama mereka jumpa tadi.

"Cantik apartmen kat depan tu kan?" kata Papa.

"Ya lah, Pa. Nampak baru"

"Belum siap lagi kot. Tengok macam takda penghuni lagi tu" Papa memperlahankan kereta. Bangunan apartment yang dikatakan cantik itu sememangnya tidak berpenghuni.

"Hmm.. Pa, dah turunan bukit ni. Ana rasa yang kat depan simpang kecil tu kot pengawal tadi maksudkan" kata Ana sambil menuding ke arah simpang di sebelah kiri jalan.

"Ha! Itu dia"

Kereta Mazda milik Papa meluncur laju memasuki simpang jalan itu. Jalan ke kampung Emi berturap simen, bukannya tar seperti jalan raya utama. Kali ini terdapat rumah di kiri dan kanan jalan walaupun tidak begitu rapat. Kebanyakan rumah tersebut merupakan rumah yang diperbuat daripada bata dan simen.

"Cantik juga rumah orang-orang kat sini, Ana. Tapi nanti kamu ke sekolah tu naik apa?" Papa bersuara lagi.

"Emi cakap ada bas sekolah yang selalu masuk kat kawasan ni untuk ambil anak-anak orang kampung yang nak bersekolah" balas Ana. Papa mengangguk.

"Eloklah kalau begitu"

"Nombor rumah kawan kamu tu?"

"46, Pa"

"Yang kita baru lalu tadi 43. Dah tak jauh rasanya"

Mereka tiba di depan sebuah rumah kampung bercirikan binaan Melayu tradisional. Halaman rumah sangat bersih walaupun dikelilingi pepohon merimbun di tepi dan belakang rumah tersebut. Bunyi unggas bersahutan kedengaran sayup-sayup. Ana turun dari kereta dan mendekati tangga rumah itu. Sebuah tempayan berisi air sengaja diletakkan disitu.

"Segar kat sini. Padanlah dengan tempatnya. Kaki bukit" Papa mengekori Ana.

"Assalammualaikum" Ana memberi salam. Dia mengulangi lagi salam lagi setelah tidak mendapat jawapan.

"Waalaikumsalam" suara lunak seorang gadis membalas salam tersebut dari tepi kereta. Papa sedikit terkejut. Emi muncul dengan berkain batik dan berbaju kebaya hijau dengan rambutnya dibiarkan terjurai melepasi bahu. Dia membawa nyiru berisi cendawan, yang kemudiannya diletakkan dihadapan kereta Papa.

"Emi!" Ana berlari mendapatkan Emi lantas memeluk erat rakannya itu. Emi membalas pelukannya.

"Baru sampai, Ana?" tanya Emi mesra.

"Ye lah. Tadi sempat ke sekolah lagi jumpa penolong kanan. Kau taulah.. aku terlewat bangun pagi tadi. Sorry lah aku lambat lepas tu tak call kau pula" balas Ana tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Hmm.. tak pe lah. Sekurang-kurangnya kau dah selamat sampai. Itu lebih penting kan" kata Emi sambil tersenyum, lalu mengangkat nyiru itu sekali lagi.

"Emi, lupa pula. Ini papa aku" kata Ana sambil memperkenalkan papanya.

"Apa khabar Emi?" sapa Papa.

"Sihat, pak cik. Eh.. marilah naik dulu. Emi sediakan minuman" kata Emi mesra.

"Pak cik tak boleh lama disini. Kena balik petang ni juga. Mak cik kamu tu risau memanjang nanti" balas Papa.

"Alah tak pe pak cik. Sekejap je pun" kata Emi. Dia mencedok sedikit air dari tempayan dan membasuh kakinya sebelum naik ke rumah.

Ana dan Papa mengekori Emi. Ruang tamu rumah itu dihiasi langsir bewarna krim, kontra dengan warna kayu. Ruang rumah itu kelihatan luas dah kemas dengan perabot yang sedikit. Kerusi-kerusi rotan beralas kusyen empuk berwarna coklat keemasan disusun rapi membentuk huruf L di suatu sudut rumah tersebut. Hamparan buluh sengaja diletakkan di tengah rumah tersebut. Semuanya kelihatan unik.

"Silakan duduk, pak cik dan Ana. Emi minta diri kedapur dulu" kata Emi.

"Baiklah Emi" kata Papa.

"Ana nak ikut Emi juga, Pa" Ana meminta diri.

"Haa eloklah tu. Kamu tu jangan berat tulang sangat. Pandai-pandai bawa diri" Papa memberi nasihat.

Ana tersengih. Dia menyingkap tirai yang memisahkan antara ruang tamu dan dapur rumah itu. Emi kelihatan sedang menjerang air.

"Emi, biar aku tolong" pelawa Ana.

"Eh, tak pe Ana. Kau duduk lah dulu. Aku boleh buat ni"

"Alah... bukan selalu" balas Ana pula. Emi memandangnya.

"Ye lah.. kau ni. Selalu aku je yang kalah kalau lawan dengan kau, Ana" usik Emi. Ana mengangkat tangan, berlagak seperti seorang atlet yang baru berjaya menghabiskan larian marathon. Emi tergelak kecil.

"Dah Ana. Kau tolong aku buka tin kat atas para tu. Susun kat dalam mangkuk. Ada dalam almari" arah Emi pula. Ana menurut sahaja.

"Waah... wanginya. Biskut kelapa ke ni, Emi?" kata Ana setelah dia berjaya membuka tin yang dimaksudkan.

"Ya. Kakak aku yang buat kemarin" balas Emi. Ana kemudian membuka almari pinggan mangkuk Emi.

"Emi, set pinggan mangkuk kau ni dah boleh dijual ke muzium ni. Bukan senang nak jumpa design macam ni sekarang kau tau tak?" kata Ana. Matanya membulat memerhatikan set pinggan mangkuk yang pada firasatnya agak lama disimpan tetapi dijaga rapi.

"Arwah mak dan ayah aku yang simpan semua tu, Ana. Bukan kau tak tau"

"Ooh jadi masa presentation kita pasal tradisi Melayu tu, barang-barang ni lah yang jadi model ya?" Ana memandang Emi. Minta penjelasan. Emi mengangkat kening berulang kali. Ana menepuk dahinya. Dia menyambung kerjanya menyusun biskut.

"Emi" suara perempuan menyapa Emi menyebabkan Ana hampir melepaskan mangkuk yang berisi biskut tadi ke lantai, tetapi berjaya diselamatkannya. Dia mengurut dada. Seorang wanita muda berdiri di pintu bilik berdekatan dapur. Seperti Emi, dia kelihatan cantik walaupun cuma bersanggul dan memakai baju opah bersama kain batik.

"Kak, kenalkan. Ini kawan Emi yang Emi bagitahu tu. Ana, ini kakak Emi, Anita"kata Emi sambil menuang air panas ke dalam jag. Haruman kopi mengisi ruang dapur itu.

Anita menghulurkan salam kepada Ana sambil tersenyum.

"Ana boleh panggil kak Ita je" katanya.

Ana berasa lega. Sekurang-kurangnya kakak Emi ini seorang yang peramah.

"Kak, abang long tak datang ke?" tanya Emi.

"Along cakap lepas Maghrib dia datang. Along ada kerja" dia memberi isyarat yang Ana sendiri tidak mengerti. Emi mengangguk.

"Ana, tolong aku angkatkan talam berisi cawan dengan biskut tadi ya. Jag panas ni biar aku yang angkat" kata Emi pula.

"Ye lah" kata Ana pula. Mereka kembali ke ruang tamu. Papa kelihatan sedang sibuk memerhatikan potret keluarga yang tergantung di dinding rumah itu.

"Haa.. Emi. Kamu ada seorang kakak dan adik perempuan rupanya. Mana mereka?" tanya Papa.

"Kakak baru terjaga, pak cik. Adik Emi ada kat rumah abang long" balas Emi sambil menuang kopi panas ke dalam cawan.

"Begitu"

"Adik Emi tu baru habis SPM. Jadi sementara menunggu peluang kerja, dia bantu Along sediakan makan minum sementara Along pergi kerja. Silakan minum pak cik, Ana"

Cawan diagihkan kepada kedua tetamunya.

"Eloklah begitu. Ni, Emi. Kamu tolong tengok-tengokkan si Ana ni sementara dia kerja kat sini. Kalau dia tak bantu kamu buat kerja rumah, bagitau pak cik" kata Papa. Ana tersengih.

"Ya lah pak cik" balas Emi. Mereka minum sambil Ana dan Emi berbual-bual.

"Pak cik nak panaskan enjin kereta dulu. Dah pukul lima suku ni. Kalau malam sangat nanti mak cik kamu kunci pak cik pulak kat luar rumah. Kamu teruskanlah berbual dulu" kata Papa. Emi mengangguk.

******
"Ana, kereta tak mahu hidup pula. Entah apa lagi masalah kereta ni" Papa kembali ke ruang tamu. Letih. Ana memandang Papanya dengan rasa tidak percaya.

"Jadi, Pa?" tanya Ana.

"Tak pa, pak cik. Bermalam je kat sini dulu" Emi yang baru kembali dari dapur memberi saran.

"Alah Emi ni. Susah-susah je. Ni Emi, ada tak bengkel berdekatan? Pak cik boleh call lagi ni" kata Papa.

"Bengkel jauh dari sini, pak cik. Tapi saya boleh tengokkan kereta pak cik" seorang lelaki berumur lingkungan lewat 30an tiba-tiba muncul di hadapan pintu. Mereka semua memandangnya.

"Along. Bila sampai?" tanya Emi.

"Baru lagi. Ira pun ikut sekali" katanya. Dia melangkah masuk dan menghulurkan salam kepada Papa. Papa menyambut salamnya.

"Pak cik, ini Along kami.  Abang Borhan" Emi sekali lagi memperkenalkan adik-beradiknya.

"Oh Borhan. Baguslah. Pak cik tak tahu apa lagi masalah kereta pak cik tu. Tak mahu hidup. Dah nak malam ni" kata Papa.

"Kalau begitu biar saya tengokkan sekarang" pelawa Borhan. Mereka kemudiannya berlalu pergi.

"Dah Ana. Mana barang kau? Aku tunjukkan bilik. Ok?" kata Emi.

"Biar aku angkut dulu dari kereta, Emi" balas Ana sambil tersengih. Dia meminta diri. Dari beranda rumah, jelas kelihatan Borhan yang sedang sibuk menggelengkan kepalanya dan menjelaskan sesuatu kepada Papa. Papa kelihatan kecewa.

******

"Pak cik, ini bilik pak cik malam ni. Ana ada kat sebelah bilik ni je. Kalau pak cik nak mandi atau guna bilik air, guna je kat dalam ni. Dulu Along tinggal kat sini sebelum dia pindah" kata Emi kepada Papa. Katil bersaiz ratu diletakkan di dalam bilik itu bersama kelambu. Seperti ruang tamu, bilik tersebut kelihatan luas.

"Baiklah. Terima kasih, Emi" kata Papa.

"Sama-sama. Sekejap lagi makan malam siap. Along pun makan malam dengan kami malam ni jadi nanti Emi minta Ana panggilkan pak cik" kata Emi.

"Baiklah"

Ana memasuki ruangan itu semasa Emi berlalu pergi. Ana memerhatikan pemandangan belakang rumah melalui tingkap bilik itu. Tangki air betul-betul berada di belakang biliknya yang terletak bersebelahan bilik Papanya. Borhan kelihatan menghidupkan api di halaman belakang rumah dengan puntungan kayu sederhana besar dan panjang.

"Pa, dah call Mama?" tanya Ana.

"Dah. Mama tak angkat jadi Papa hantar mesej je" kata Papa.

"Okay"

"Yang kamu kat sini ni kenapa? tolong sikit Emi tu kat dapur. Kesian dia" kata Papa lagi.  Ana tersengih dan berlalu dari situ. Semasa dia melangkah masuk ke dapur, Emi dan dua lagi adik-beradik perempuannya sedang sibuk menyediakan juadah makan malam. Ira, adik bongsu Emi kelihatan diam. Mereka bertiga sudah menukar pakaian tetapi kali ini ketiga-tiganya mengenakan baju kurung.

"Kak Ita, ada apa-apa yang boleh Ana tolong?" tanya Ana. Anita tersenyum dan menghulurkan sebakul telur ayam kepada Ana.

"Tolong akak pukulkan tujuh biji telur. Nak masak telur dadar berempah" katanya.

"Okay kak. Ana buatkan"

Emi sibuk mengacau nasi di dalam periuk. Semua mereka berdiam diri. Masing-masing sibuk dengan kerja.

"Kak, Ana nak pinjam bilik air. Nak mandi dulu" kata Ana sesudah selesai membantu di dapur. Kelengkapan mandinya sudah tersedia. Nasi dan lauk-pauk sudah dimasak. Emi kemudiannya menunjukkan arah bilik air kepada Ana.

"Nanti lepas mandi, jangan lupa makan tau. Aku minta Along panggilkan Papa kau juga" kata Emi dibalik pintu bilik air tersebut.

"Ya lah" balas Ana.

Bilik air yang terletak di bahagian dapur ini mempunyai kolah air. Cermin di dalam bilik air itu tidak terurus. Sudut cermin tersebut dipenuhi kulat kehijauan. Entah kenapa hidung Ana menangkap bau hanyir yang tidak menyenangkan. Sangkanya bau itu mungkin datang dari tumpahan telur semasa dia menyediakan telur dadar berempah. Belum sempat Ana menanggalkan baju, sesuatu bergerak di bawah telapak kakinya. Dia kemudiannya melompat ketepi. Ngeri dan geli dengan apa yang dilihatnya. Ulat-ulat segar bertaburan di lantai bilik air dan juga lubang tandas. Ana menyiram ulat-ulat tersebut dengan air dari kolah. Dia mencapai tualanya, lalu meluru keluar dari bilik mandi.

"Ana, ada apa ni?" tanya Borhan yang duduk sendirian di ruang tamu.

"tak ada apa-apa, abang Borhan" kata Ana. Dia cepat-cepat masuk ke dalam bilik dan menghidupkan lampu.

"EMI!" katanya. Separuh terperanjat. Emi duduk di atas katil sambil memerhatikannya. Kelambu sudah terpasang.

"Ana maaf. Tadi aku pasang kelambu kau. Makan malam dah siap terhidang" kata Emi sambil tersenyum.

"Ana, jom makan sekali. Kamu dah siap?" suara Papa kedengaran di balik pintu.

"Datang, Pa" kata Ana. Emi bangkit dari katil lalu mengisyaratkan kepada Ana untuk dia menyusul keluar nanti.

******

Papa duduk bersebelahan Borhan di meja makan kecil dapur rumah tersebut ketika Ana sampai di dapur. Bekas basuhan tangan lama bertukar tangan. Asap nipis dari bara api di halaman belakang rumah memasuki ruang dapur yang diterangi dengan beberapa lampu pelita cap ayam.

"Ana, kamu tak makan?" tanya Papa bila dia menyedari Ana tidak berganjak mencedok apa-apa ke dalam pinggannya.

"Eh... mestilah makan, Pa. Kak Ita dan Emi masak sedap tu tadi" kata Ana tidak mahu mengecilkan hati tuan rumah. Anita dan Emi tersenyum dipuji sebegitu. Borhan sebaliknya tidak menunjukkan sebarang reaksi, begitu juga dengan Ira. Dia mencedok sedikit makanan ke dalam pinggannya. Mereka menjamah makan malam tanpa sebarang perbualan.

"Ita, along ada beli buah tembikai tadi. Mana kamu letak, Ira?" tanya Borhan tiba-tiba setelah semua orang selesai makan.

"Ada dekat dengan almari pinggan, along" akhirnya Ira bersuara. Anita bangun dan mengambil buah tembikai tersebut dan sedia untuk membelahnya.

"Nanti, Ita. Bawa ke dalam dulu. Biar semua orang duduk kat dalam. Emi kemaskan dapur dulu dan Ira tolong Emi. Ana boleh ikut abang" arah Borhan. Anita menurut tanpa sebarang kata. Begitu juga dengan Emi dan Ira. Ana dan Papa mengekori Borhan.

Mereka kemudiannya duduk di atas tikar buluh ditengah ruang rumah. Borhan mengeluarkan sesuatu dari dalam poketnya. Pisau ukiran. Dia mengisyaratkan Anita supaya memotong buah tembikai itu kepada beberapa bahagian. Kemudian, Emi masuk membawakan beberapa buah pinggan kosong untuk meletakkan buah tembikai yang dipotong, dan diagihkan kepada semua orang. Lebihan buah tembikai yang tinggal diambil oleh Borhan yang sedia untuk mengukir kulit tembikai tersebut.

Anehnya, ukiran yang dibuatnya sangat cantik. Papa kelihatan terpana. Borhan membuat ukiran bunga lili dan menunjukkannya kepada Ana.

"Wah.. macam bunga betul!" puji Ana. Borhan tersenyum.

"Abang boleh ukir bunga kat pasu di beranda tu" kata Borhan. Dia berdiri dan mengambil sepasu bunga yang ditanam berlainan warna.

"Tengok. Abang ukir bunga ni dengan pisau ukiran" dia menunjukkan hasil kerjanya. Bunga hidup yang kelopaknya juga diukir membentuk kelopak tambahan. Papa memerhati seakan tidak percaya.

"Borhan, bunga ni nipis. Mustahil nak ukir kelopak tambahan begini" kata Papa.

"Tidak bagi saya, pak cik. Ini senang saja" katanya. Papa terdiam.

"Bunga ni saya sendiri yang tanam. Semuanya kat beranda tu saya juga yang tanam. Jadi saya buat ujikaji sendiri" kata Borhan. Dia kemudiannya menghulurkan air basuhan tangan kepada Papa dan Ana, sambil Emi dan yang lain mengangkat pinggan berisi kulit tembikai ke dapur.

Hujan renyai-renyai kedengaran menghentam atap rumah.

"Along, Ira masuk tidur dulu" kata Ira tiba-tiba dari tirai dapur.

"Anita juga"

Borhan hanya membiarkan mereka berlalu pergi. Asap nipis masih lagi mengisi ruang rumah.

"Pak cik, dah lewat malam ni. Mungkin lebih baik pak cik berehat dulu. Esok saya tengokkan lagi kereta pak cik tu atau saya panggil kawan datang tolong" kata Borhan.

"Ya lah Borhan. Elok lah. Habis malam ni kamu nak tidur kat mana? kalau tak ada tempat, kongsi dengan pak cik je" kata Papa.

"Tak pa, pak cik. Saya boleh tidur di bilik arwah mak ayah kat sebelah bilik pak cik tu"

"Baguslah kalau begitu. Haa.. pak cik tidur dulu ya. Emi, Ana.. kamu berdua pun masuk tidur juga"

Ana tersenyum. Akhirnya dapat juga dia berehat. Emi dan Borhan tidak berganjak.

"Emi, tak tidur ke?" tanya Ana.

"Ana tidurlah dulu. Emi ada nak bincang dengan along" kata Emi.

Ana merasa sedikit pelik. "Apa sangat yang nak dibincangkannya malam macam ni. Ah... biarlah. Hujan macam ni yang paling best nak tidur" monolognya sendirian.

Dia mengeluarkan sehelai selimut dari dalam begnya dan melangkah masuk ke dalam kelambu. Sambil berbaring, fikirannya melayang ke arah game online yang selalu dimainkannya. Memikirkan pasangannya di dalam permainan maya itu. Entah apa yang dibuat jejaka itu sekarang. Matanya terasa berat...

"Ana... Ana... tolong aku Ana... "

PUFFFF! Ana terbaring di atas lantai hutan. Rambutnya bersalut debu dan dedaun kering melekat kesan terjatuh dari tempat yang tinggi.

"BORHAN! Kenapa kau tolak pinangan aku hah?! Kita kawan lama, Borhan. Sampai hati kau buat aku macam ni!" kedengaran suara seorang lelaki berteriak dari balik timbunan ranting dan daun getah kering yang meninggi. Borhan yang sedang mengangkut susu getah meletakkan baldi yang dibawanya diatas tanah.

"Hikmal. Sabar. Aku ada penjelasan. Dengar..." belum sempat Borhan menerangkan, lelaki yang bernama Hikmal itu menghayun penumbuk padu tepat ke perut Borhan. Ana terkejut, tetapi tidak berganjak dari tempatnya.

"SABAR??? Aku dah lama suka pada Emi! Kau dan Anita cuma jadi penghalang aku!" Hikmal menumbuk Borhan sekali lagi. Borhan mengadu kesakitan.

"Hikmal, aku bukan menghalang tapi kau perlu tahu sesuatu..." Borhan cuba bangkit tetapi Hikmal memijak dadanya.

"PERSETANKAN SEMUANYA. DARI ARWAH AYAH KAU SAMPAILAH KAU SENDIRI, SEMUANYA JADI PENGHALANG AKU! KAU ORANG HANTAR EMI BELAJAR JAUH DARI SINI SUPAYA AKU TAK DAPAT DEKAT DENGAN DIA!" Hikmal sudah hilang pertimbangan. Dari jauh Ana dapat melihat pergelutan dua lelaki itu.

"HIKMAL! JANGAN!" teriak Anita dari suatu sudut. Dia yang berbaju kurung berlari menuju ke arah Hikmal dan Borhan yang sedang bergelut.

"Ita, jangan masuk campur" kata Borhan yang semakin lemah.

"Along .. tapi... "

Hikmal semakin mengganas. Dia menendang Borhan sekuat hati. Ana berdebar melihat pergelutan itu tetapi dia tidak dapat berganjak dari tempatnya berdiri seakan-akan kakinya digam disitu. Borhan kelihatan memuntahkan darah segar selepas diseksa oleh Hikmal.

"HIKMAL!" Suara garau seorang lelaki membuatkan Hikmal terhenti.

"Pak cik Mahat" Hikmal perlahan-lahan berundur dan berlari pergi.

"Borhan. Anita.. kamu berdua pulang lah. Si Hikmal tu dah naik gila" kata lelaki itu. Ana teringat pekebun sekolah yang dilihatnya siang tadi.

"Baiklah, pak cik" kata Anita.

Anita memapah Borhan yang semakin lemah pulang ke rumahnya.

"Hantar Along pulang ke rumah Along, Ita. Kau orang jangan susah hati"

"Tapi long, luka sangat ni" kata Anita. Risau.

"Jangan...mem..ban..tah..."Borhan pengsan di tengah jalan.

"PAK CIK MAHAT... TOLONG..." teriak Anita. Lelaki yang dipanggil Pak cik Mahat itu sekali lagi berlari mendapatkan mereka berdua.

"Anita, kamu pergi ke rumah ketua kampung. Sekarang. Minta dia datang ke rumah kamu. Biar pak cik bawa si Borhan ni kesana dulu. Panggilkan Mak Senah sekali"

"Ba..baiklah pak cik"

Anita menghilang dari kebun getah itu. Pak cik Mahat membawa Borhan yang sedang pengsan itu di atas kereta sorongnya.

Keadaan di hadapan Ana berubah. Kali ini dia berdiri di beranda rumah Emi.

"Tok, macam mana ni Tok? Kalau kita tak bertindak sekarang, si Hikmal tu nanti membuat onar lagi" suara Pak cik Mahat kedengaran.

Tok ketua kampung menggelengkan kepalanya. Hikmal satu-satunya anak saudara lelakinya yang dia harapkan boleh memimpin masyarakat kampung.

"Aku juga tak suka melihat keadaan ini, Mahat. Yang jadi mangsa si Borhan ni, tak Borhan si Anita"

Dia memerhatikan Borhan yang terbaring tidak sedarkan diri sedang dirawat oleh Mak Senah, bidan kampung itu.

"Tok, sampai bila kita nak rahsiakan perkara itu tok? Saya fikir Hikmal patut tahu"

"Apa maksud kamu, Senah?" tanya Pak cik Mahat. Ana berdebar.. menanti jawapan dari wanita tua yang dipanggil Mak Senah itu.

Whoooosssshhhhhhh!! Kali ini Ana berdiri jauh dari rumah Emi. Api besar menjilat rumah tradisional keluarga Emi, tetapi tiada seorang manusia pun yang membantu memadamkan kebakaran itu. Tidak jauh dari situ, kelihatan lelaki yang bernama Hikmal tadi tersenyum puas. Seorang lelaki tua beruban berdiri bersamanya memerhatikan rumah yang terbakar itu.

"Tolong...tolong...tolong aku, Ana..."

Ana kenal benar dengan suara itu. Emi... Emi di dalam rumah. Dia terperangkap! Ana cuba membantu tetapi dia tidak dapat berganjak.

Suara ketawa Hikmal kedengaran.

"Pak Munir, kalau aku tak dapat Emi... tak ada lelaki lain akan dapat dia juga! Dia milik aku... hahahahaha" mereka ketawa berdekah-dekah.

"Kau memang bijak, Hikmal. Bijak" lelaki tua itu menghilang bagaikan kabus. Hikmal menoleh ke kiri dan kanan mencari kelibat lelaki itu tetapi hampa.

"Baru puas hati aku. Puas. Rasakan, Borhan!" Hikmal berlalu pergi.

******

"Ana... Ana.. tolong aku Ana... " suara Emi menangkap telinganya. Ana tersentak dari tidurnya. Rumah tradisional itu masih utuh. Tiada cacat celanya.

"Ana..... Anaaaaa" 

Ana berdebar. Ini bukan lagi mimpi yang sedang dialaminya.

"Anaaa.... aku sakit Ana... tolong aku...." 

"Anaaaaa... tolong....tolongggggggg" 

kali ini suara Anita dan Ira berkumandang bersilih ganti. Pintu biliknya diketuk bagaikan mahu pecah. Ana mengambil bantal dan menyambung tidurnya. Dia berharap semuanya akan berlalu.

******

"Ana... Ana bangun, nak" suara Papa mengejutkan Ana dari tidurnya. Dia tersentak. Mereka berdua berada di atas timbunan runtuhan rumah yang penuh dengan arang.

"Kita...kita kat mana ni, Pa?" tanya Ana. Bingung.

"Mari pergi dari sini, Ana" Papa membawa Ana pergi dari situ bersama beg pakaiannya.

"Apa dah jadi, Pa?" tanya Ana lagi. Papa tidak berkata apa-apa, tetapi terus menghidupkan enjin kereta. Matahari mula terbit tinggi apabila mereka meninggalkan kesan runtuhan rumah tadi.

"Semalam Papa nampak Borhan melambai-lambai. Bukan rupa dia lagi"

"Pa.. Emi, Pa... Emi dah tak ada" Ana akhirnya memberitahu papanya.

"Hah? Habis siapa yang menelefon kamu? Bila kamu dapat alamat dia?" tanya Papa. Panik.

"Dua bulan lepas Emi bagi alamat tu. Bila Ana bagitahu Emi yang Ana akan bertugas jadi guru kat sini, dia minta Ana tinggal dengan dia orang, Pa. Katanya lebih baik Ana kat sini. Ada juga temankan dia dan adik-beradiknya" balas Ana terketar-ketar.

"Bila kali terakhir kamu sendiri telefon dia?" tanya Papa lagi. Peluh menitis dari dahinya.

"Bulan lepas, Pa. Masa tu yang Ana confirmkan kat Emi. Lepas tu ada sekali tu Emi call Ana tapi Ana tak sambut. Masuk voicemail"

"Apa dia cakap?"

"Tak ada, Pa. Ana dengar suara macam angin je"

"Ya Allah. Apa dah jadi ni, Ana? Dah... sekarang Ana tak ada tempat tinggal. Nak pergi mana? Isnin dah bertugas"

"Kejap, Pa. Jom pergi sekolah tu lagi. Ana nak jumpa seseorang"

Papa merenungnya. Tidak percaya. Dia meneruskan perjalanan untuk sampai ke sekolah yang dimaksudkan lagi.

Sebaik sahaja kereta Mazda itu cuba melepasi perkarangan sekolah, pengawal berbangsa India yang mereka temui sehari sebelumnya sudah melambai, menyuruh mereka berhenti. Pekebun sekolah berbangsa Melayu yang Ana lihat juga berlari mendapatkan mereka.

"Aiyo Encik... apa sudah jadi? Saya ada panggil Encik tapi Encik drive laju saja" kata pengawal itu. Papa keluar dari dalam kereta, begitu juga dengan Ana.

"Pak cik Mahat" kata Ana tiba-tiba. Mereka semua memandangnya.

"Macam mana kamu tahu?" tanya pekebun itu.

Ana mula menceritakan segala-galanya.

******

Suasana pagi itu begitu suram antara empat orang yang sedang berbincang di hadapan pondok pengawal sekolah. Papa sesekali mengangguk, manakala Ana masih tidak dapat menerima semua maklumat yang disampaikan. Pengawal sekolah menghulurkan beberapa kotak Milo kepada mereka dan sepeket biskut Tiger sebagai sarapan.

"Begini, Encik Latif. Hikmal dan Emi tu adik-beradik. Munir dukun dari kampung sebelah dan terkenal dengan ilmunya suatu masa dulu. Dia menyalahgunakan ilmunya untuk mendapatkan wang daripada ayah Hikmal sendiri. Keluarga Borhan menjadi mangsa termasuklah Emi"

"Habis tu, Encik Mahat, takkan orang kampung tak tahu?" tanya Papa.

"Tak ada yang tahu melainkan adik kandung ayah Hikmal, keluarga Borhan dan bidan Senah sendiri. Saya sendiri dengar pengakuan ini bila si Hikmal tu mencederakan Borhan. Itupun dari bidan Senah sendiri"

"Tapi Pak cik, apa dah jadi dengan ayah Hikmal?" tanya Ana pula.

"Dia meninggal selepas Munir menghantar ilmu hitamnya kerana tidak memberi bayaran yang diminta, iaitu anak lelakinya sendiri. Hikmal." pak cik Mahat menerangkan dengan nada kesal.

"Maksud encik?"

"Munir mahukan pewaris untuk ilmunya. Hikmal yang panas baran itu difikirkannya sesuai"

Mereka semua menarik nafas dalam.

"Hikmal tidak ditemui lagi selepas dia membakar rumah Borhan dan menyebabkan kematian empat nyawa di dalam rumah itu sebulan yang lepas"

"Apa? tapi Ana berhubung dengan Emi sebulan yang lepas. Dua minggu lepas Emi telefon juga"

"Emi meninggal sebulan yang lepas"

Ana berasa kakinya tidak memijak tanah lagi.

"Apa yang kamu mimpikan itu betul-betul berlaku sebulan yang lepas. Emi terperangkap di dalam rumah itu. Bila kami semua tiba di lokasi kejadian, kami temui mayat Anita dan Ira bersama-sama dengan mayat Borhan sedang merangkul satu sama lain. Mayat Emi pula terperangkap di bawah runtuhan papan rentung. Betul-betul di bilik yang berada berdekatan dengan tangki air"

Ana tidak berkata apa-apa lagi. Papa meletakkan tangannya di bahu Ana.

"cik Ana, mungkin cik patut pulang saja hari ini. Disini bukan tempat untuk cik tinggal" kata pengawal itu.

"Tapi saya bertugas esok"

"Dengar saja apa yang dikatakan, Ana. Kami berdua tahu yang kamu berjumpa dengan Encik Halim juga"

"Maksud pak cik penolong kanan satu?"

"Encik Halim baru meninggal, Ana"

Mata Papa membulat. Ana juga terperanjat.

"Sebelum kamu tiba disini, Encik Halim terlibat dalam kemalangan jalan raya bersama isterinya. Mereka mati di tempat kejadian"

"Habis? siapa yang Ana jumpa kemarin?" tanya Ana.

"Mungkin dia datang kerana dia dah berjanji mahu berjumpa kamu, Ana" kata Papa.

"sama macam Emi. Ana janji nak jumpa dia..."

"kami tahu sebab Mahat nampak kamu bercakap seorang diri, dan masuk ke dalam pejabat Encik Halim bila semua orang tahu pejabat itu berkunci"

Mereka semua berdiam diri.

"Tiada urusan pengambilan guru baru di sekolah ini juga" kata pengawal itu.

Ana memandangnya. Hairan.

"Nanti kamu fahamlah, Ana. Balik saja ikut Papa kamu. Keluar dari sini sebelum matahari condong ke barat lebih baik. Saya minta diri dulu" kata pak cik Mahat.

"Baiklah. Terima kasih encik. Kami pergi dulu" kata Papa kepada kedua-dua pengawal dan pekebun sekolah.

Kereta Mazda meluncur laju sekali lagi tetapi kali ni keluar dari kawasan tersebut. Setelah beberapa ketika, mereka akhirnya berjumpa dengan Gerai Pak Mat. Kali ni gerai itu dibuka. Pemiliknya memerhatikan kedua Ana dan Papanya keluar dari kereta dengan kehairanan jelas terpancar di wajahnya.

"Encik, saya nak Nescafe O kurang manis ya" kata Papa.

"Saya Milo suam, pak cik" kata Ana pula. Pemilik gerai mengambil pesanan.

"Makan? Saya baru siap menggoreng mee. Ada telur mata dan sosej juga. Nasi goreng dan nasi kuning pun ada" kata pemilik gerai.

"Nasi kuning dua" kata Papa spontan.

Tidak lama selepas itu, pesanan yang diminta pun sampai. Ana menjamah hidangan tadi perlahan-lahan.

"Pa, kalau Papa ingat..tak ada kereta pun yang lalu ikut jalan tu kan?"

Pemilik gerai yang kelihatan berminat dengan perbualan itu, turut sama duduk semeja bersama mereka.

"Encik, minta maaf kalau saya jadi penyibuk tapi Encik nampak sekolah di atas bukit juga?"

"Ya. Kami pergi kesana sebab mereka panggil anak saya untuk bertugas"

"Sekolah tu tak wujud, Encik"

Ana berhenti menyuap. Papa juga kelihatan menelan air liurnya.

"Tapi pak cik, kawan saya Emi tinggal di kawasan kampung berdekatan. Kemudian pengawal juga beritahu saya penolong kanan sekolah meninggal dunia.. kemalangan.."

"cik, memang ada kampung kat dalam ni. Ada tujuh buah kampung utama yang ada di dalam ni tapi sekolah tak ada. Kalau cik nak tahu, di kawasan itulah penolong kanan sekolah bernama Encik Halim meninggal dunia. Dia balik ke kampung bersama isterinya tetapi kereta yang dipandunya terjatuh dalam gaung"

Ana terdiam. "Bagaimana pula dengan pengawal dan pekebun sekolah?"

Pemilik gerai itu kelihatan berkira-kira hendak memberitahu perkara sebenar.

"Pengawal sekolah dan pekebun yang kamu nampak... bukan manusia, cik"

"Saya tahu pak cik Mahat manusia"

"cik, mungkin Mahat manusia sebenar tetapi itu kawasan keras. Kemungkinan kamu berjumpa dengan Mahat dari alam lain"

"maksud encik?" tanya Papa pula.

"Dah ramai yang terkena begini, encik. Dah ramai juga yang terkorban di tempat itu kerana sejarahnya, kawasan itu mahukan darah. Encik patut bersyukur dapat keluar dari tempat itu hidup-hidup. Ramai yang pergi kesana tetapi cuma beberapa sahaja yang mampu keluar"

"Habis tu, bagaimana dengan orang kampung?"

"Orang kampung mempunyai jalan alternatif lain. Mereka masih boleh keluar tetapi bukan melalui jalan ini" pemilik gerai menunjukkan simpang kecil bersebelahan gerainya.

Ana dan Papa tidak berkata apa-apa lagi.

"Kadang-kadang, apa yang mata kita boleh lihat juga boleh menipu kita" kata pemilik gerai, lalu berlalu pergi. Menghilang bagaikan kabus.

Ahad, 27 Julai 2014

Ahad, 29 Jun 2014

Setitis Tinta: Ranjau Kehidupan




Manusia...
Zahirnya bukan malas,

Zahirnya bukan alpa,


Zahirnya bukan buta,


Tapi..


Bila mulut bicara tidak,


Bila hati bicara tidak,


Bila otak bicara tidak,


Segalanya beku.


Beku.


Dan beku.

Sehingga tersingkap dihijab lain,

"Engkau malas!"

"Engkau lupa!"

"Engkau buta!"

Lemparan tohmahan demi tohmahan

Bagai pawana memusnah harapan

Maka terdamparlah sekujur insan

Ditepis dibadai lautan kehidupan.

~LJW, Jun 29 2014 - Tengah memikir masa depan~

Selasa, 18 Mac 2014

The Elixir of Life: Wing of Love Chapter 1

"Nah, ini duit belanja kau nanti. Pandai-pandailah berjimat cermat, nak" kata emak sambil menghulur sehelai sampul surat berwarna coklat yang mengandungi sejumlah wang di dalamnya. Emak labuhkan punggungnya disebelah Hana yang sedang melipat pakaian ke dalam bagasinya. 

"Kalau sudah sampai di tempat orang nanti, jaga diri baik-baik. Kita orang perempuan ni, sekali 'kena' tertinggal bekas. Bukan macam orang lelaki. Ha.. duit tu. Jangan ingat enjoy saja macam orang berduit. Kau pun tahu yang aku ni kerja kelaut saja. Bapa kau pun tiap hari ke kebun, bercucuk tanam" leteran emak disambut dengan senyum simpul oleh Hana. 

"Aih, budak ni. Aku nasihat betul-betul, dia senyum pulak. Alamak... nasi aku..." emak bergegas kedapur. Sambil melipat pakaian, Hana memerhatikan sekujur tubuh tua berbaring tidak jauh darinya. Bapanya itu sedang tidur nyenyak, ditemani lagu klasik yang sayup-sayup kedengaran dari corong radio usang milik mereka. Mungkin penat selepas seharian berada di kebun. Hana memasukkan pakaian yang masih berbaki ke dalam bagasinya. Segala dokumen yang diminta oleh pihak universiti sudah disusun ke dalam fail yang serta-merta dimasukkan kedalam beg galasnya. 

"Hana, kau tolong kakak kau di dapur. Hidangkan apa yang patut. Panggil adik-adik kau sekali. Biar mak kejutkan bapa kau" kata emak sambil berjalan ke arah bapa yang masih tidur. 

"Ya lah, mak"

Hana bingkas bangun lalu memanggil adik-adiknya. Laju saja dia melangkah ke arah dapur. Hana lihat kakak sedang menyenduk lauk-pauk ke dalam mangkuk. 

"dah siap berkemas?" sapa kakak. Hana mengangguk. 

"Hana siapkan pinggan dan air basuh tangan. Lepas tu, tolong akak tuangkan air masak ke dalam jag. Jangan lupa cawan sekali" kata kakak sambil menyusun lauk-pauk tadi ke dalam talam. Hana lihat masakan malam ini sungguh istimewa. Ikan pari masak tumis dan sup ayam. Sayur pucuk ubi tumis kegemarannya pun ada. Mesti bapa yang ambilkan siang tadi. Kakak menghidangkan lauk-pauk tadi di atas meja makan bersama-sama dengan sebekas nasi yang masih lagi mengeluarkan wap. Kakak mengisyaratkan Hana supaya duduk bersamanya apabila ahli keluarga mereka yang lain tiba. Sudahnya, makan malam diserikan dengan gelak tawa ahli keluarganya apabila mereka semua berkongsi pengalaman lucu masing-masing. Hilai tawa hanya reda apabila masing-masing mengambil tempat ditemani bantal busuk dan selimut mereka, sedangkan Hana merasakan dia sukar melelapkan mata terutama bila teringatkan dirinya menaiki kapal terbang yang ruangnya agak sempit. Terpaksa juga dia menahan sesak nafasnya itu dan memaksa matanya terlelap. 


********
Bapa kejutkan Hana seawal empat pagi. Hana yang masih lagi mamai, bingkas bangun. Seisi rumah sudah terjaga.

"Ah... persetankan perasaan kurang selesa ini" monolog Hana sambil melipat selimutnya. Usai bersarapan pagi, Hana mengambil bagasi dan beg galasnya. Dia letakkan berdekatan pintu. Hana mengenakan tudung bawal kosong sebelum melangkah menghampiri emaknya. Dia menghulur tangan, lalu mencium tangan emaknya.

"Mak, Hana pergi dulu. Doakan Hana ya, Mak" ucapnya. Emak merenung sayu. 

"Ya lah. Kau jaga diri bagus-bagus, nak. Kalau ada apa-apa, kau telefon saja bapa kau. Sampai di sana nanti, pandai-pandailah kau bawa diri di tempat orang" kata emak. 

"Nanti kau kirimlah khabar pakai Pesbuk..eh..entah apa namaya" sahut bapa pula. Semua orang tergelak besar. Bapa pagi-pagi lagi buat lawak. 

"Bukan pesbuk lah, pak. Facebook" seloroh kakak. 

"Asalkan berbunyi, sama juga lah tu" Emak tolong bapa daripada menjadi bahan lawak Hana dan adik beradiknya. 

"Ah.. kita mesti jalan sekarang. Nanti pula jalan jammed, kan susah. Flight budak ni, bukannya menunggu dia" kata bapa menghabiskan saki baki ketawa yang lain. Kakak dan adik-adik Hana melambai manakala emak duduk di tepi pintu memerhatikan Hana dan bapa berlalu pergi dengan proton Aerobik hitam. Sepanjang perjalanan dari rumah sehingga ke lapangan terbang, Hana hanya diam membisu. Bapa pula tidak berkata apa-apa. Hanya apabila mereka tiba di lapangan terbang, bapa mula bertanya itu dan ini. Bapa sempat membelikan sekeping sandwich tuna untuk Hana. Hana perhatikan dalam dompet bapa hanya ada dua keping not RM10. Sayu benar hatinya. Selepas bagasi dimasukkan ke dalam kargo, Hana cepat-cepat membuka sandwich yang dibeli oleh bapa tadi. Dia menggigit sekeping sandwich dan meghulurkan sekeping lagi yang berada di dalam bekas plastik kepada bapa. 

"Eh.. makanlah. Bapa beli untuk kau. Kau tu kalau lapar mana boleh ditahan-tahan"

"Alah. Mana habis ni" balas Hana. Bapa yang termakan pujukan, terpaksa menerima sandwich itu. Hana senyum sendirian. Mereka mendengar pengumuman bahawa penumpang diminta untuk masuk ke balai berlepas. Hana cepat-cepat menghabiskan sandwichnya. 

"Anak bapa ni, tak senonoh betul" kata bapa sambil menghulurkan sapu tangannya kepada Hana. Hana hanya tersenyum. Seperi emak, Hana menghulurkan tangannya kepada bapa dan menciumnya. Bapa menitiskan airmata, sesuatu yang Hana tidak jangkakan sama sekali. Orang lain yang lalu lalang di situ memandang mereka. Cepat-cepat bapa sapukan airmata yang keluar.

"Belajar baik-baik, nak" ucap bapa sambil tersenyum hambar. Hana mengangguk dan tersenyum. 

"Pa, Hana pergi dulu" kata Hana sambil melambai kepada bapa. Bapa membalas, tapi tidak cepat berlalu pergi. Dia memerhatikan Hana yang masih lagi melalui proses imbasan imigresen dan ketika Hana ingin ke kaunter imigresen bagi pemeriksaan dokumen dan passport, bapa melambai lagi dan berlalu pergi sambil menyapu airmatanya. 

Dia kini sendirian. Hana terasa kosong, tapi dia harus pergi. University of Otago telah menanti, menjanjikan sebuah sinar baru untuk diri dan keluarganya. Dia sudah nekad. Walau apapun rintangannya, dia mesti kuat. Demi keluarganya. Demi kehidupan yang baik pada masa hadapan. 

Sekali lagi, pengumuman dibuat menandakan itulah masanya Hana akan meninggalkan kampung halamannya. Sayup-sayup kedengaran lagu "leaving on jet plane", entah dari telefon bimbit siapa membuatkan Hana hanyut dalam dunianya yang tersendiri. 

********
Hana banyak termenung semenjak penerbangannya dari lapangan terbang Sandakan. Sudah beberapa kali dia transit dan dalam masa itu jugalah dia duduk di sebelah orang yang terlebih ramah. Berjam-jam lamanya berada di dalam kapal,tambah lagi dengan transit dan menunggu kapal terbang tiba memang memenatkan. Kini tahulah dia, bukan senang hendak memulakan perjalanan tambahan lagi inilah pertama kali dia menjejakkan kaki keluar negara. Dari seorang guru tuisyen, kini dia bergelar mahasiswi semula. Lembaran zaman universitinya yang dahulu telah ditutup selepas berlangsungnya majlis konvokesyen, kini telah dibuka semula. Rakan-rakan seuniversitinya kebanyakan telah bekerja, tidak kurang juga telah berumahtangga. Hana? Dia memilih untuk tidak memikirkan soal kahwin kerana dia arif benar sikap keluarga belah emaknya. Bila ada anak gadis yang belum berkahwin tetapi sudah bekerjaya, mereka rela mengahwinkan anak gadis mereka dengan teruna dari kalangan keluarga sendiri. Alasan yang sering digunapakai ialah kahwin keluarga sendiri ni senang. Sekurang-kurangnya tak sampai hati. Kalau rumahtangga retak, keluarga boleh tolong ikatkan. Hana tidak dapat terima alasan itu. Baginya, jodoh terletak di tangan Allah bukan di tangan keluarga. Kalau sudah perjanjian di Luh Mahfuz dia akan berkahwin dengan orang lain yang bukan dalam kalangan keluarga sendiri, maka orang lain lah. Hana geram benar bila kakak sepupunya cuba untuk mempengaruhi emak supaya mengahwinkan Hana dengan keluarga mereka yang jauh, konon boleh menjamin masa depan kerana lelaki itu kapten kapal. Hana bukan gadis yang gila duit. Jauh sekali. Bagi Hana, biarlah dia berkenan dengan lelaki yang bakal menjadi calon suaminya. Hana ingin memilih juga walaupun dia acap kali mendengar "perigi jangan cari timba".

Lapangan terbang Dunedin setia menanti pengunjungnya. Hana terpegun, mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana masih membenarkan dia menikmati pemandangan asing itu. Seorang lelaki melambainya, menunjuk ke arah teksi. Hana memberi isyarat, memberitahu pemandu teksi bahawa dia tidak mahu menaiki teksi tersebut. Tiba-tiba, seorang lelaki Inggeris datang menyapanya. 

"University of Otago?" tanyanya kepada Hana. 

"Yes" jawab Hana, segan. 

"So, we're on the same boat" ucapnya gembira. Hana mengangkat kening. Lelaki itu mendapatkan teksi tadi dan membayar sejumlah wang untuk menaiki teksi itu. 

"Come," katanya. Hana tidak berganjak. Lelaki itu tersenyum. "It's alright. Don't be shy. You know, this time I pay for your cab's fee. Thank you for talking with me during our flight"

Oh. Jadi, dialah lelaki terlebih ramah yang duduk di sebelah Hana semenjak dari KLIA tu. Hana hanya tersenyum. Hambar. Dia kurang mempercayai lelaki tersebut. Walau apapun, dia mesti berhati-hati. 

"No worries, I didnt come alone. Ah... there you're, mother" katanya sambil melambai ke arah seorang wanita pertengahan abad. Wanita itu sebelum ini duduk di kerusi bersebelahan dengan Hana dan lelaki Inggeris itu. Hana merasa sedikit lega. 

"My name is Jan. Jan Herman" katanya sambil menghulur tangan. Hana tersenyum tetapi tidak berjabat tangan dengannya. Jan sedar akan kesilapannya, lalu menarik tangan yang dihulur dengan muka yang agak kemerahan. 

"Sorry. Umm.. what is your name again?" katanya sambil memandang ke arah Hana. 

"Hana. Hana Binti Karim" ujar Hana. Jan tersenyum. 

"What a simple beautiful name" puji Jan. Hana cuma tersenyum hambar. Tidak termakan pujian. Pemandu teksi tadi datang mendapatkan Hana, mengangkat bagasi dan mempersilakan mereka semua masuk ke dalam teksi. Mereka tidak banyak berbual. Hanya Jan dan emaknya melayan celoteh pemandu teksi itu. Hana dan yang lain tiba di perkarangan kawasan yang Jan katakan popular dengan pelajar Malaysia. Hana terpegun. Subahanallah. Begitu indah kawasan itu. Kediaman pelajar terpacak betul-betul di hadapan mereka. Jan mempersilakan emaknya dan Hana keluar sambil pemandu teksi mengeluarkan barangan mereka dari bonet teksi. Jan meminta diri dari emaknya untuk menguruskan pendaftaran pelajar dan membawa Hana bersamanya. Hana cuma mengekori dari belakang, memerhatikan emak Jan yang tinggal dengan barang-barang mereka berdua. 

Setelah hampir setengah jam, Jan dan Hana datang semula mengambil barangan mereka. Mrs. Herman mengucapkan selamat tinggal kepada anaknya dan Hana sambil berlalu pergi menaiki sebuah teksi yang lalu di kawasan itu. Jadi, sebuah apartmen boleh memuatkan empat orang pelajar. Hana tersenyum memikirkan kemungkinan dia akan serumah dengan orang Malaysia juga. Jan membantunya membawa bagasi yang agak sarat sehingga ke penginapannya. Hana mengetuk pintu. Tiada jawapan. Dia mengeluarkan kunci apartmen yang diberikan, lalu masuk. Jan terpegun. 

"This is fantastic! I couldn't wait to see my apartment too!"

Bilik Hana menghadap pemandangan pokok pine yang menirus ke atas. Hana sangat gembira. Sedang Hana mendapatkan Jan yang berada di ruang tamu, seseorang menyapanya.

"Hana? Is that you?"

Hana terpegun dengan suara itu. Cepat dia menoleh. Dilihatnya seorang lelaki sedang berdiri di luar pintu apartmen. Seseorang yang dia kenali. 

"SIR?!" mata Hana membulat. Terkejut. 

Khamis, 27 Februari 2014

Spice of Life: Yes Sir by Noor Aisyah Mokhtar


Aku peminat cerpen ini. Jadi aku terbitkan ke dalam blog ini, supaya senang daku baca suatu hari nanti. ^_^ Kredit untuk Noor Aisyah Mokhtar dan juga http://perkahwinan.com.my/forum/discussion/7683/cerpen-yes-sir/p1. ENJOY... 

ORANG kata, jangan benci sangat pada seseorang, kelak kita akan menyintainya separuh mati. Walau tidak termaktub dalam kitab, namun kata-kata inilah yang diperturunkan dari generasi ke generasi.
ORANG kata, jangan benci sangat pada seseorang, kelak kita akan menyintainya separuh mati. Walau tidak termaktub dalam kitab, namun kata-kata inilah yang diperturunkan dari generasi ke generasi.

Pepatah Inggeris pula ada menyebut, it takes a second to know someone, a minute to like someone, an hour to love someone but it takes the rest of your life to forget your love ones. Tiada kajian saintifik membuktikan kesahihannya kerana proses kehidupan manusialah yang menjadi saksi kebenaran pepatah tersebut.

Kata orang, cinta pertama sukar dilupakan walau datang cinta lain kemudiannya. Aku menyangkal. Perjalanan hidupku membuktikan sebaliknya. Tidak semua orang bertuah memiliki cinta pertama sebagai cinta sejati. Bagiku, cinta pertama untuk dikenang. Cinta yang datang kemudiannya mungkin cinta sejati.

Kita tidak tahu bila kita akan bertemu cinta sejati kita. Mungkin pada cinta pertama, kedua, ketiga atau akhirnya kita menyedari bahawa cinta sejati kita hanyalah pada Ilahi. Namun aku bersyukur kerana cinta sejatiku pada Penciptalah yang mempertemukanku dengan insan yang salah dahulu sebelum menemui cinta sejatiku.

Usiaku genap 22 tahun tiga hari lepas. Aku punya kisah cinta yang padan dengan pepatah tersebut. Ya, kerana bencilah aku menahan rasa cinta separuh mati kini. Walaupun baru kutinggalkan hampir empat bulan lalu, aku yakin dan percaya, cinta itulah yang akan terus kukenang selamanya.

Dia, banyak mengajarku bidang ilmu yang kucintai, arkitektur. Dia dengan sinis, sering menegurku tanggungjawab dan peranan seorang insan. Dia, kutinggalkan bersama kenangan. Pastilah kerana cintaku ini pernah bergelar pensyarahku, juga mantan suamiku.

“Saya cabar awak.”

“Saya cabar awak kahwin dengan saya sebaik saja awak habis belajar, which means in this three months time. It's just a challenge. If you aren't dare to, i bet you to tell me all the reasons why you hate me so much. Well, what would you say?”

Cabarannya langsung tidak mengujakan namun ayat terakhirnya benar-benar mencabarku. Aku terima cabarannya asalkan dia juga menyahut cabaranku - kecuali ketika upacara membatalkan wuduk di majlis akan nikah, aku mencabarnya agar tidak langsung menyentuhku. Saat dia menyentuhku, talak jatuh ke atasku. Dengan wajah selamba dan senyuman sinis, dia menyahut cabaranku. Termeterailah perjanjian kami malam itu bersaksikan rakan-rakanku. Gila.

Lawatan akademik yang paling menyayat hati. Rakan-rakan menghakimi perbuatanku. Pelbagai pertanyaan mereka lontarkan. Pulang dari Bali dan kembali meneruskan pengajian, saban hari mereka memujukku melepaskan cabaran. Asal saja Encik Zhafran mengajar, suasana janggal. Kerap dia menghasutku dengan sinis supaya melepaskan cabarannya. Lemas, kadangkala berasa hampir tewas namun janji tetap janji. Aku mahu lebih tabah, lebih kuat. Cukuplah kisah lama.

Hakikatnya aku tidak tahu salahku hingga begitu sekali dia membenciku. Aku hanya insan biasa dengan rutin hidup normal, suka mengelamun dan tiada keistimewaan lain.

Seingatku, hari pertama semester ketiga, dia hadir memperkenalkan diri sebagai Encik Zhafran, mengajar reka bentuk seni bina. Panggilan formal dan santai, Sir Zhafran. Satu tabiatnya, setiap kali dia bertanya ya atau tidak, kami perlu menjawab, “Yes sir!” atau “No Sir!” dengan tegas. Aneh.

Entah mengapa, setiap kali dia menyebut namaku, Aisyah, aku rasa menyampah. Walaupun begitu, aku tetap menghormatinya. Dia prihatin dengan kerjaku, tidak pernah sekalipun dia mungkir singgah di mejaku ketika sesi tutorial. Komennya yang tegas dan membina menyenangkanku. Realitinya, dia juga penyumbang kepada kejayaanku beroleh A dalam subjek tersebut. Untuk itu, aku amat berterima kasih.

Entah mana silapnya, sikap ramah dan prihatinnya terhadapku cuma bertahan satu semester sahaja. Menginjak ke semester keempat, ada saja sikap dan perbuatanku yang tidak kena di matanya. Sesi tutorial, dia tidak lagi singgah di mejaku. Sesi pembentangan, dia jarang menumpukan perhatian namun banyak pula komen dan sindirannya. Kadangkala, terasa seperti diaibkan.

Rakan-rakan menyuruhku bersabar. Mereka juga hairan dengan perubahan tingkahnya terhadapku. Aku muhasabah diri, mencari khilaf yang mungkin menggurisnya. Namun aku buntu. Perasaanku yang sedih dengan perlakuannya bertukar benci lalu aku juga bersikap dingin terhadapnya.

Benar, kebencian bernanah andai kita tidak merawatnya. Setahun dibiar, akhirnya 'nanah' itu pecah lalu terluahlah segala kebencian. Malam persembahan kebudayaan Malaysia - Bali menjadi saksi kebencian kami yang akhirnya bertukar tragedi. Dalam amarah, kami saling mencabar disaksikan rakan-rakan. Aku akan pastikan kemenangan milikku.

Menghormati syariat dan adat, dia melakukan semua yang sepatutnya - menghantar rombongan dan merancang majlis. Ibu tergamam tatkala cincin emas dihulurkan Datin Afifah. Bila ditanya, tenang saja kami menjawab, dah jodoh. Kami memang pandai berlakon, mesra dan ramah di khalayak ramai.

Rabu, peperiksaan akhir tamat. Sabtu, hari 'bahagiaku' menjelang. Majlis akad nikah bersekali resepsi disambut meriah. Tidak henti-henti aku menguntum senyum 'bahagia'. Pastilah, sebentar nanti aku akan memenangi cabaran ini. Hatiku ketawa puas.

Selepas Zuhur, bersaksikan seluruh ahli keluarga, pensyarah dan rakan-rakan, kami diijabkabul. Saat bertentang mata dengannya dan menguntum senyum, aku sayu. Walaupun sekadar permainan, akhirnya aku bergelar isteri. Bodohkah aku?

Cabaran bertukar tangan. Kehidupan kami unik. Tiada bulan madu. Di kondonya, kami tinggal berlainan bilik. Dingin dan terasing. Tiada interaksi yang kerap, bertegur sekadar bertanya perkara yang patut, mengejutkan Subuh atau saling menyindir. Makan biasanya asing, dia di dapur dan aku di hadapan televisyen. Aku menjalani kehidupan yang bahagia sepanjang menyiapkan tesis akhir pengajian bersama 'suamiku'. Dia juga berpegang pada janji. Aku rasa selamat walau tidak mengunci pintu bilik di malam hari.

Keadaannya yang demam teruk satu pagi sebulan selepas pernikahan kami menyedarkanku. Dalam demam dan batuk, dia berkeras tidak mengizinkanku menyentuhnya, bimbang nanti jatuh talak. Gila aku dibuatnya. Kutegaskan sekali lagi syarat cabaran, hanya dia yang tidak boleh menyentuhku, bukan aku. Selama tiga hari menjaganya, aku menyediakan makanan, menyuapkan ubat, menuam dahinya, mengelap badannya malah menemankannya hingga tidur. Kami cuma diam, kadangkala aku perasan genangan air matanya. Sepanjang itu dia berusaha tidak menyentuhku. Betapa dia berpegang pada janji. Aku bungkam. Mengapa?

Selepas dia pulih, kehidupan kami kembali normal. Runsing dengan sikapnya dan tertekan menyiapkan tesis, fikiran dan kesihatanku terganggu. Walaupun demam, aku nekad menyudahkannya. Gagal. Panas badan menghentikanku. Tinggal beberapa muka lagi ketika aku tertidur di depan komputer pukul empat pagi. Jam satu petang terjaga, aku panik. Komputerku ditutup. Pandanganku menangkap tiga buah buku berkulit keras siap dijilid dengan namaku di atasnya. Kusemak hingga helaian terakhir. Itu tesisku! Semua fakta dan hujah yang kulakarkan disampaikan dengan terperinci, padat dan lengkap dengan gambarajah. Sebahagiannya bukan kerjaku, pasti kerja dia.

Maaf saya siapkan, takut awak tak sempat hantar sebelum pukul 5. Jangan risau, saya bukan pensyarah penilai. Makanan dah disediakan, makanlah. Kalau tak larat drive, call me, i'll fetch you. I'm half day today. So then, take care. Again, sorry.

-Zhafran-

Nota kecil tersebut membuatkanku terjelepok ke lantai. Aku menangis, meraung kecil. Geram dan menyampah, sebal. Cukuplah!


Tiga bulan sebumbung dengannya, aku tidak sanggup berpura-pura lagi. Aku perlu segera keluar dari rumahnya dan hilang daripada pandangannya. Aku tak mampu terus bersamanya. Aku nekad menerima tawaran belajar ke Glasgow. Tanpa perasaan, kunyatakan hasrat dan minta dia melepaskanku dengan alasan aku ingin mencari cinta pertamaku. Lama dia diam, kemudian mengangguk dan berlalu. Ibu bapaku hanya kuberitahu tentang hasrat menyambung pengajian.

Lapangan terbang menyaksikan pertemuan dan perpisahan. Di sini juga ada ketawa dan air mata. Dan malam itu, aku ditemani keluarga dan Zhafran. Dia banyak mendiamkan diri, sekali-sekali melayan adik-adikku dan tersenyum memandangku. Saat perpisahan, aku menyalami seluruh ahli keluargaku. Sampai giliran Zhafran, keluargaku menjauh. Hanya aku dan dia. Tiba-tiba, dia menyentuhku, menarik tanganku bersalam dengannya. Hatiku luruh. Perlahan-lahan kutunduk mencium tangannya. Air mataku bergenang. Bangkit semula, dia mencium dahiku lama. Dengan perlahan, dia berbisik, “Saya lepaskan awak. Carilah cinta awak. Saya doakan awak bahagia.”

Lambaian terakhirku pada mereka disertai deraian air mata yang deras mengalir. Aku sebak, amat. Hingga mereka hilang daripada pandangan, aku hanya nampak Zhafran dan senyuman ikhlasnya. Aku menangis dan menangis. Aku mengerti segala yang berlaku, aku yang memintanya. Namun hatiku benar-benar pedih. Tamatlah cabaran, perjanjian dan hubungan kami. Tapi aku pasti, sesuatu telah lama lahir dalam hatiku. Sebelum berlepas, nombor Zhafran kudail. Lama baru kudengar suaranya. Hatiku pedih.

“Kita kalah. Tapi saya kalah teruk bila awak tak tanya alasan membenci awak.

“Sir, i hate you. I have to since i realized that i've fallen into you the second you call out my name years ago and i can't believed it.

“Saya bukan gadis suci. Memang saya masih dara tapi Ashraf dah terlalu banyak menyentuh saya. Saya kesal dan saya bertaubat. Tapi saya rasa jijik, benci diri sendiri. Saya tak layak untuk sesiapa. Untuk itu, saya tak sanggup menyintai awak. Lepas kahwin, saya semakin membenci diri kerana saya sedar awak sayangkan saya. Tapi saya tak layak untuk awak!” Aku teresak.

“I'm sorry i love you sir. But i'm so sorry i can't love you. Take care.”



*****************

Cintaku berakhir di situ. Di bumi Inggeris ini, aku belajar mengubati hati, menyibukkan diri dengan tugasan dan kuliah. Aku jumpa Ashraf, dia sudah berubah, juga minta kukembali padanya. Maaf, hatiku bukan lagi untuknya. Sesekali ingatanku melayang mengenang Zhafran. Kadangkala termimpikannya dan apabila sedar, aku menangis.

Sejak di KLIA, kami sudah tidak berhubung. Mungkin dia juga sepertiku, ingin melupakan satu sama lain dan memulakan hidup baru. Melupakan? Semakin kuberusaha, semakin kusedari betapa kumerinduinya.

Petang Khamis itu, aku bersiap ke masjid untuk bacaan Yassin. Musim luruh yang nyaman menenangkan hatiku tatkala menyusuri jalan. Pemandangan hijau dan lautan langit biru mengasyikkanku. Bam! Berpinar kepalaku terlanggar tiang lampu di tepi kawasan masjid. Dahi kugosok, cuba mengesan sebarang perubahan.

“Langsung tak berubah, suka mengelamun.”

Aku tersentak lalu berpaling ke arah suara itu. Wajah yang kurindui itu kini di hadapanku, sedikit cengkung.

“Ikut saya.” Zhafran terus menarik lenganku dan mengheretku ke pintu masjid. Agak ramai orang di dewan utama. Dia berpusing memandangku. Matanya menjilat wajahku lama. Aku diam, berdebar.

“Saya tahu awak ada banyak soalan tapi kita boleh cerita nanti. Sekarang ni, saya nak kita masuk dalam dan nikah semula.”

Jantungku seolah terhenti. Kutatapnya dalam. Tanpa sedar aku menapak selangkah ke belakang.

Dia menghela nafas. “Aisyah, awak tahu tak saya dah lama sayangkan awak?”

“Setiap kali saya panggil nama awak, hati saya berdebar. Saya rasa bersalah, saya tak patut jatuh cinta pada pelajar sendiri. Sebab itulah saya dingin terhadap awak untuk mengurangkan rasa bersalah saya. Tapi tak sangka perbuatan saya menyusahkan hingga awak membenci saya. Malam tu di Bali, sebenarnya saya melamar awak takut-takut. Tapi lain pula jadinya.”

Aku tergamam dengan penjelasannya.

“Semua orang buat kesilapan Aisyah, saya pun. Tapi yang penting ialah cara kita menanganinya, siapa kita pada hari ini dan apa kita nak jadi nanti. Kisah silam awak langsung tak mencacatkan perasaan saya terhadap awak.” Dia berhenti.

“Sebulan saya di sini mencari awak, mengikuti rutin harian awak, memandang awak dari jauh. Saya tunggu awak habis edah. Saya tak nak rujuk, nanti kena sambung cabaran dulu. Saya nak nikah semula dengan awak, saya nak awak jadi isteri saya semula.”

Matanya bergenang. “Saya bukan malaikat. Tak ada satu ketika pun saya tak rasa nak sentuh awak. Bila awak tidur, saya masuk bilik tengok awak. Saya teringin usap awak, teman awak tidur. Saya geram tengok awak ketawa depan TV. Dulu masa awak jaga saya, saya rasa susah sangat. Saya sedih kenapa kita jadi macam tu.”

Terdengar esakan. “Aisyah, i need you, i love you so much. I can't be apart from you anymore. Will you take your stupid ex-hubby as your real husband again?”

Terlalu pantas dan mengejutkan. Sebak dan terharu. Lidahku kelu, air mataku sedari tadi tidak berhenti. Lama kuterdiam, cuba mencerna kata-katanya.

“Aisyah, yes or no?”

Lamunanku tersentak. “Yes sir! I do!”

Opss! Dia senyum. Aku tunduk malu.

Orang kata, jika kita cintakan seseorang, bebaskan dia. Jika dia kembali, maknanya dia memang tercipta untuk kita. Aku melepaskan Zhafran namun dia kembali semula padaku. Dia menyedarkanku bahawa kita tidak boleh pilih dengan siapa kita hendak jatuh cinta. Dia membuatkan aku yakin pada diriku. Banyak perubahan berlaku padaku sepanjang mengenalinya. Dia membuatkan aku percaya, sesiapa jua berhak untuk bahagia kerana bahagia diusahakan oleh kita sendiri.

Luahkan hasrat dan impian kita dengan ikhlas dan berusaha memperolehinya. Tiada doa yang tidak didengar, tiada usaha yang disia-siakan. Percaya pada diri dan hati kita. Cintailah diri dan cintailah segala yang kita ada, jangan persiakannya. Oleh itu, Zhafran, terima kasih untuk segalanya.

“Aisyah sayang, where are you dear? Come here honey, i need your help.”

“Yes sir!!”