Duduk tengok Tv ni, aku teringat kisah dulu. Ya lah...kisah lama. Zaman-zaman kenakalan sebagai seorang budak. Memori zaman kanak-kanak begitu sebati dalam diri sehingga saat ini. Ah..betapa bebasnya di masa dahulu. Selamat. Mesti anda tertanya-tanya "kenapa?" kan? Mari aku ceritakan.
Tahun 1997, Papa selalu outstation. Aku? masih bersekolah di darjah satu. Mama selalu marah padaku sebab bila aku dapat tahu Papa akan pergi outstation, aku mahu ikut dan melupakan kerja-kerja sekolahku. Papa sering keberatan, terutama bila beliau perlu menghadiri mesyuarat di ibu pejabat. Masa itu, aku cuma tahu "cuti" "cuti" dan "cuti" kerana aku berasa bosan berada di kelas. Mama? masih mengandungkan adik bongsu aku ditambah pula dengan tugasan di rumah seperti memasak dan menjaga adik-beradikku yang lain.
Pagi itu, aku lihat abang-abangku berjalan kaki hendak ke gelanggang silat sekitar kampungku. Aku biarkan. Pasti mereka tidak tahu yang Papa hendak outstation lagi. Kakakku yang sulung berada di dapur, manakala yang seorang lagi awal-awal lagi pergi ke sekolah. Berjalan kaki. Adikku yang kecil masih lagi tidur. Papa bersiap-siap. Aku perlahankan langkah, menuju ke almari bajuku dan kakak. Aku ambil dua pasang pakaian dan masukkan ke dalam beg sekolahku. Beg itu kosong sebab menjadi kebiasaanku memunggah keluar buku-bukuku pada malam hari selepas aku pulang dari sekolah. Aku sediakan sehelai kain batik milik Mama, dan mengambil barang keperluan seperti berus gigi secara senyap. Mujurlah mereka tidak perasan. Aku lega. Begku sedia untuk diangkat.
Papa sudah bersiap dan mengangkat beg pakaian menuju ke ruang tamu. Mama menjenguk Papa, meminta untuk menjamah sarapan pagi dahulu. Tembelangku pecah bila kakak terjumpa begku yang aku sorokkan di belakang pintu. Puas aku dimarahi kakak, tapi aku diamkan saja. Akhirnya, hanya bila aku menangis sahaja Papa benarkan aku ikut. Mama tidak membantah walaupun tidak bersetuju dengan idea membawaku bersama ke Kota Kinabalu.
8 jam perjalanan dengan menaiki kereta rakan sekerja Papa memang memenatkan. Aku hanya melihat ke luar tingkap walaupun pada masa-masa tertentu, hujan turun di kawasan yang berbukit. Rakan sekerja Papa membawa kami ke hotel penginapan dan menempah dua buah bilik- sebuah untuknya dan sebuah bilik katil berkembar untuk aku dan Papa. Masa itu, gaji Papa masih rendah. Hotel yang disewa memang sebuah hotel bajet, tapi berbaloi. Ia murah dan pekerjanya sangat peramah. Aku teringat pekerja di kaunter hadapan. Seorang abang berkaca mata berbingkai yang tinggi lampai dan selalu panggil aku "budak kecil". hahaha.. dia ada iras2 dengan abang cybercafe tempat aku selalu menaip tugasan masa sekolah dulu. Hari pertama memang wajiblah berkunjung ke pasar malam KK. Aku mempunyai minat yang pelik terhadap piano mainan dan juga kura-kura cengkerang. Tapi kali ini, aku cuma minta Papa belikan aku kura-kura cengkerang (cengkerang yang dikutip dari tepi pantai, dilekatkan bersama membentuk kura-kura atau haiwan lain). Ia berharga RM2. Aku memiliki 7 'ekor' cengkerang kura-kura termasuk yang itu. Aku sangat suka dengan saiznya yang comel dan nampak seolah-olah senyum padaku. Punca aku mengumpulnya cuma sebab buku cerita sepupuku yang aku baca. "Kisah Arnab dan Kura-kura" itu menyebabkan aku terbayang diriku. Aku begitu lembap bila dikaitkan dengan pelajaran, macam kura-kura. Hanya selepas kami berjalan-jalan di sekitar pasar malam dan menjamah makan malam, aku rasakan hari itu berlalu dengan cepat.
Keesokan harinya, Papa mengejutkan aku seawal 6.30 pagi. Aku bangun dan melihat Papa bersiap-siap. Papa memberikan aku duit kertas RM10 sebanyak dua keping dan memesanku "guna untuk sarapan pagi dan makan tengah hari. Kalau Papa lambat balik, makan malam dulu. Jangan tunggu". Aku mengangguk. Papa menerangkan kepadaku tentang pintu bilik dan elektrik. Selepas memastikan aku faham, Papa bergegas keluar. Aku membuka pintu bilik sedikit dan memerhatikan Papa menuruni anak tangga. Sempat juga cuping telingaku menangkap perbualan Papa dan abang di kaunter bawah "tolong tengokkan anak saya baik-baik". Aku melihat di atas meja... biskut dan juga susu telah tersedia untukku. Aku mengambil keputusan untuk tidur semula.
Jam tanganku menunjukkan pukul 10 pagi. Aku bergegas bangun dan bersiap-siap untuk turun ke bawah untuk pergi ke kedai. Abang penjaga kaunter memanggilku dan memberikanku sepeket buah-buahan potong segar bersama sebungkus nasi goreng ayam. Aku melihatnya dan memberikan semula semuanya kepada abang itu. Aku sudah diajar agar jangan meminta daripada orang lain, atau jangan menerima apa-apa daripada orang lain. Abang itu tersenyum dan kemungkinan dia faham, dia memintaku duduk bersamanya di kaunter itu untuk menjamu sarapan pagi kami. Aku akur. Masa itu, dia banyak bercerita tentang kisah hidupnya. Aku cuma menjadi pendengar setia dan kadang-kadang bertanya padanya. Sebelum aku berlalu pergi, dia berpesan agar jangan pergi jauh-jauh atau jangan ikut orang yang tidak dikenali. Aku mengangguk dan mengucapkan terima kasih untuk sarapan pagi tadi.
Melangkah keluar dari anak tangga terakhir, aku lihat dunia yang berbeza. Dunia yang dari perspektifku sebagai seorang budak, sangat luas untuk diterokai. Aku mendapat idea gila. Aku mahu berjalan sendiri..mengembara di hutan batu ini. Inilah masanya! Aku berjalan dan berjalan lalu ternampak bangunan tinggi yang bulat. Aku mahu ke sana dan aku terlihat beberapa orang hendak melintas jalan raya berkembar. Aku ikut di belakang mereka kerana aku takut melintas seorang diri. Mujurlah aku sampai dengan selamat. Aku berjalan-jalan seorang diri, membeli aiskrim berharga 50 sen pada masa itu. Ahh... betapa seronoknya. Jadi inilah rasanya bila tahu jalan. Kemudian, aku berjalan lagi...melintasi pejabat pos KK dan pergi ke pasar segarnya. Aku terjumpa patung kertas. Aku beli dua keping. Hanya 40 sen. Bahagianya jadi seorang budak... orang ramai yang lalu lalalng memerhatikan aku. Bila aku hendak melintas jalan, pasti ada orang yang membimbingku. Aku lalu di sebuah gerai tepi jalan. Orang itu memberikan aku jagung kukus dan tidak menerima duit yang aku mahu bayarkan kepadanya. Terima kasih makcik. Jagung kukus itu sedap. Dimasak dengan marjerin yang wangi. Hanya 80 sen setangkai. Jalan dengannya memang sesuatu yang ummpphh.
Aku sangat suka berjalan masuk ke dalam kedai berhawa dingin. Aku perhatikan satu persatu barangan yang dipamerkan. Aku sedar, matahari betul-betul berada di atas kepalaku. Aku berhenti di restoran Sugarbun untuk menjamu selera. Harga set makanan kanak-kanak memang murah. Di situ, aku ditemani oleh sepasang mat salleh yang memerhatikan aku dengan penuh minat. Mereka berbual denganku, tapi aku sepatah haram tak faham. Salah seorang pelayan restoran itu menemani aku makan. Mungkin berpendapat bahawa aku datang dengan ibu bapaku. Dia cuma sedar aku bersendirian bila pasangan mat salleh tadi memberitahunya. Aku berlalu pergi dan berjalan ke Wisma Merdeka. Seingatku, aku berjalan melalui mahkamah. Di situ aku lihat orang berkot hitam dengan kemeja putih menuruni anak tangga. Aku tertarik dan memerhati dari jauh. Waahhh... jadi itulah peguam. Cantik baju diorang. Aku masih ada lebih kurang 14 ringgit setengah. Aku berpatah balik dan berjalan menuju ke kedai menjual aiskrim. Jauh, tapi berbaloi. Makan aiskrim sekejap sambil melihat sekeliling memang menyeronokkan. Kemudian aku meneruskan perjalanan. Aku melihat keadaan sekeliling sebelum berjalan semula ke hotel. Aku sedar, masa semakin suntuk sebab kalau aku tidak kembali sebelum jam 5 petang Papa akan risau dan kemungkinan aku tidak akan dibawa semula ke situ. Aku berjalan dan terus berjalan. Aku mula risau yang aku tidak akan dapat pulang ke hotel. Tetapi, aku terlihat bangunan putih yang aku lihat pertama tadi. Aku yakin aku semakin dekat. Aku percepatkan langkah dan melintas jalan raya. Kemudian, ke depan lagi. Alih-alih, aku sudah tiba di hotel penginapan kami. Aku lega. Aku sempat membeli sebungkus milo kotak dan sepeket biskut kacang sebelum naik ke bilik dengan senyap.
Abang penjaga kaunter sempat bertanya kepadaku, dan aku katakan kepadanya "saya jadi pengembara hari ini. Abang, ini rahsia tau! Janji." sambil tersenyum dan membuat isyarat dengan jari kelingking. Dia cuma tersenyum, tapi aku dapat rasakan dia ceritakan pada Papa sebab malam itu Papa jadi risau. ^^"